HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Agensi berita Bernama bermula di banglo kecil dengan 15 pekerja

-

Kewujudan Bernama pernah dipersoal oleh media lain ketika itu tetapi ia berjaya menangkis semua persepsi dan terus menyumbang dalam dunia penyiaran berita.

0
Shares
Total Views: 1
bernama-agensi-berita
fmt-ohsem-inside-article1“Balloons and ‘peace’ doves were released in Kuala Lumpur this morning to mark the inauguration of Bernama’s news service…,” perenggan permulaan berita pertama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) pada 20 Mei, 1968 selepas Menteri Penerangan dan Penyiaran ketika itu, Senu Abdul Rahman merasmikan pelancaran perkhidmatan agensi berita itu.

Hari yang sama, laporan sulung Bernama diterbitkan di muka depan akhbar The Malay Mail.

Bernama ditubuhkan di bawah Akta Parlimen pada 1967 dan memulakan operasi pada 20 Mei, 1968 sebagai penyedia perkhidmatan berita elektronik yang bukan mencari keuntungan.

Semakin jauh sudah perjalanan Bernama meninggalkan liku-liku permulaannya sejak memulakan operasi 50 tahun lepas di sebuah rumah banglo di Jalan Pekeliling (kini Jalan Tun Razak) dengan 15 tenaga pentadbiran serta wartawan.

Ketika itu teman akrab mereka hanyalah mesin taip dan berita dihantar menerusi teleprinter.

Penubuhannya berlandaskan model Reuters dan Don Dallas (kakitangan Reuters) menjadi penasihat Bernama pada tahun-tahun awal permulaannya.

Di bawah Fasa Satu operasinya (1968-1969), Bernama mengehadkan liputannya sekitar Kuala Lumpur dan 2 tahun berikutnya, di bawah fasa 2 dan 3, ia mengembangkan sayapnya ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Bernama membolehkan perkongsian berita dan banyak memberi manfaat kepada akhbar-akhbar kecil termasuk akhbar harian Sabah dan Sarawak.

Sepanjang 50 tahun kewujudannya, agensi berita ini berjaya menangkis pelbagai ujian getir termasuk perubahan yang merobah landskap media dengan kemunculan serta perkembangan pesat Teknologi Komunikasi Maklumat (ICT).

Sejak sekian lama Bernama masih kekal sebagai sumber berita yang boleh diharap dan relevan. Daripada sekumpulan kecil wartawan, pasukan editorialnya kini meningkat kepada lebih 200 orang.

Operasinya juga semakin berkembang kepada pangkalan berita baru iaitu portal, radio, TV dan media sosial untuk memenuhi keperluan audien dan pelanggan yang menggunakannya sebagai sumber maklumat.

Menjejaki perintis Bernama

Kumpulan kecil wartawan yang menjadi perintis operasi agensi ini bermula daripada asas. Kebanyakannya juga boleh dikatakan baru “setahun jagung” dalam bidang kewartawanan tetapi kemudiannya menjadi wartawan yang hebat dalam dunia media.

Antara wartawan perintis Bernama ialah Musa Scully, yang menyertai agensi ini pada Mei 1968. Kini berusia 75 tahun, beliau masih kekal sebagai sebahagian daripada tenaga kerja Bernama. Beliau kini menyandang jawatan pengarah NAM News Network (NNN), portal Pergerakan Negara-negara Berkecuali yang diuruskan oleh Bernama.

Menurut Musa, Chang Yen Fooi, yang menyertai organisasi itu sebelumnya bertanya sama ada beliau berminat untuk menyertai agensi berita yang baru ditubuhkan itu. Chang adalah bekas wartawan Straits Times.

Musa yang bermula sebagai wartawan The Straits Times menerima tawaran itu dan beliau masih ingat majlis perasmian Bernama kerana beliau adalah orang yang memegang sangkar dengan burung merpati yang kemudiannya dilepaskan.

Di samping Musa dan Chan Kwan Hoi (bekas wartawan RTM) ), terdapat 3 lagi wartawan berpengalaman Utusan yang menyertai pasukan itu iaitu Mohd Saffian Mustapha, Ahmad Taib dan Khalid Yunus (kini Datuk).

Anggota sidang pengarang perintis lain terdiri daripada S.Sivaselvam, Leong Khoon Choy (kini Editor di NNN), K. Bala, Jalaluddin Bahauddin (kini Tan Sri), Lucian Peter, Robert Sinniah, Derrick Fernandez (kini Datuk), S.N. Rajan dan Syed Arabi Idid (kini Datuk Seri). Dalam pasukan itu hanya Rajan dan Syed Arabi mempunyai ijazah.

Kakitangan pertama Bahagian Pentadbiran yang dilantik ialah Mohd Yusof Bador sebagai Setiausaha pertama Bernama, dan diikuti K. Selvaraj yang juga mesra dipanggil Rajoo sebagai pembantu pejabat.

Tuan Syed Zainal Abidin Hussein dilantik sebagai Pengurus Besar sementara Abdul Wahab Abdul Majid (kemudian bergelar Datuk) bertanggungjawab untuk bahagian Bahasa Melayu sementara Chang, yang mengarang berita pertama Bernama, mengendalikan bahagian Bahasa Inggeris.

Empat atau 5 bulan selepas Bernama memulakan operasinya, Musa dinaikkan pangkat kepada ketua pemberita, menjadikan beliau yang pertama menyandang jawatan itu di Bernama.

Media lain tak setuju dengan penubuhan Bernama

Mengenang kembali hari-hari awal Bernama, Musa berkata tempoh itu amat sukar kerana pihak media lain di negara ini, di sektor awam dan swasta, tidak berapa setuju dengan kewujudan sebuah agensi berita kebangsaan.

L.C Hoffman (kemudian bergelar Tan Sri), yang pada masa itu ketua pengarang Straits Times Group berpandangan liputan berita yang disediakan oleh organisasi media sedia ada sudah mencukupi dan beliau tidak nampak sebab mengapa perlu ditubuhkan agensi berita.

Malahan RTM dan Jabatan Penerangan beranggapan Bernama akan memainkan peranan yang sama sebagai penyedia berita seperti yang mereka lakukan.

“Kami juga perlu bersaing dengan agensi berita antarabangsa seperti Reuters, AFP (Agence France-Presse), AP (Associated Press) dan UPI (United Press International) yang kini tiada lagi,” kata Musa.

Bagaimanapun, kumpulan perintis pengarang serta pemberita berjaya menangani segala dugaan dan dalam tempoh 5 hingga 6 tahun, Bernama muncul sebagai penggiat disegani dalam landskap media Malaysia.

Ditanya bagaimana Bernama mampu mengukir kehebatan dalam dunia media tempatan, Musa yang menyandang jawatan pengarang berita paling lama di Bernama berkata: “”Sebagai media elektronik kami sentiasa berada di depan (daripada media lain) jika dikira daripada segi kepantasan. Saya selalu tekankan ketepatan, kepantasan dan eksklusif dalam berita yang kita hasilkan.”

Pemberita Bernama, di samping membuat liputan tugasan harian serta mesyuarat kabinet, juga sering diingatkan berusaha mendapat berita eksklusif supaya akhbar harian akan mengambil berita itu dan mengiktiraf nama Bernama.

Pada peringkat itu, Bernama belum lagi mempunyai saluran sendiri untuk berita-beritanya dan bergantung kepada media cetak untuk menyiarkan berita serta laporan eksklusifnya.

13 Mei, krisis tebusan, skandal BMF ujian buat Bernama

Kehebatan Bernama terserlah kurang setahun selepas penubuhannya apabila berlaku rusuhan kaum pada 13 Mei, 1969.

Pejabat Bernama pada masa itu adalah sebuah banglo yang terletak berhampiran Kampung Baru yang menjadi ‘’medan panas” ketika itu. Tidak jauh dari pejabat Bernama adalah kediaman bekas Menteri Besar Selangor Datuk Harun Idris yang telah menggerakkan pengikut-pengikutnya untuk membalas balik perhimpunan yang dibuat parti pembangkang.

Musa dan 9 orang lain termasuk Chang terperangkap di pejabat hampir seminggu lamanya akibat keganasan yang tercetus.

Kedudukan Bernama yang hampir dengan Kampung Baru dan Chow Kit memberikan agensi berita itu peluang dalam menyediakan liputan berita.

“Kami mempunyai kad khas untuk keluar semasa perintah berkurung dan saya hantar pemberita Mervin Nambiar untuk pergi ke sidang akhbar yang dikendalikan oleh Patrick Keith dari RTM di Rumah Persekutuan mengenai perkembangan berkait dengan tragedi itu. Pemberita lain dihantar ke khemah tentera serta kawasan lain yang terjejas untuk membuat liputan mengenai perkembangan di sana.

“Banyak berita kami hasilkan yang digunakan oleh para pelanggan kami serta agensi berita antarabangsa. Kami berjaya membuktikan apa yang kami boleh lakukan,” katanya, dengan menambah sejak itu, pelanggan serta organisasi lain melihat Bernama sebagai saluran berita yang amat penting.

Kemampuan Bernama terserlah lagi apabila berlaku krisis tebusan di bangunan AIA pada tahun 1975.

Musa mengenang kembali bagaimana pemberita jenayah Bernama yang tiada tolok bandingnya, Allahyarham Ali Mamat menghasilkan berita-berita hebat mengenai peristiwa yang berlaku.

Pada 1983, Bernama turut memainkan peranan penting dalam menyebarkan berita berhubung skandal kewangan melibatkan Bumiputera Malaysia Finance Ltd (BMF).

Agensi berita itu terus mengukir nama dengan menyediakan liputan hebat peristiwa-peristiwa penting dalam negara dan peranan ini akan berterusan pada masa akan datang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.