

Jam di tangan menunjukan pukul 12.45 tengah hari. Sejurus kedengaran bunyi loceng menandakan tamat waktu persekolahan dan murid-murid berpusu-pusu keluar sebaik sahaja pegawal keselamatan membuka pintu pagar sekolah.
Kebanyakannya, termasuk anak penulis sendiri bukan mendapatkan ibu atau ayah yang menunggu, sebaliknya meluru ke arah beberapa orang penjual makanan ringan yang berniaga di luar pagar sekolah.
“Abang beli apa? Waktu rehat tadi abang tak makan ke?,” saya bertanya kepada anak saya, Ahmad Mirza, 9, yang belajar dalam tahun 3.
“Beli air sirap dan makanan ringan je,” kata Ahmad Mirza sambil menunjukan karung plastik berwarna merah. Penulis menjadi gusar memikirkan apa lagi yang anak ini dan anak lain makan ketika berada di sekolah.
Tidak dinafikan ada ibu bapa yang menyediakan bekalan untuk anak masing-masing, namun pasti ada yang masih akan berbelanja termasuk selepas tamat waktu sekolah.
Penulis kemudiannya membuat beberapa tinjauan di beberapa sekolah di Melaka dan Kuala Lumpur untuk melihat sejauh mana berleluasa gejala penjaja ini.
Hasil tinjauan rambang yang dibuat mendapati penjaja begitu bebas menjual makanan ringan yang sudah tentunya kurang berkhasiat seperti mi segera, sosej, nuget, aiskrim, minuman berkarbonat serta pelbagai makanan snek yang lain.
Mungkinkah mereka ini boleh terlepas kerana menjual di luar pagar sekolah?
Persoalan lain ialah sejauh mana ibu bapa memantau makanan yang dibeli anak mereka dan apakah pihak berkuasa yang berkenaan memantau keadaan ini untuk memastikan anak sekolah mengambil makanan yang berkhasiat untuk tumbesaran mereka?
Pantau tahap kebersihan
Bernama sempat berbual dengan dengan beberapa ibu bapa dan semestinya kerisauan pertama ialah tahap kebersihan makanan yang dijual kepada anak mereka oleh penjaja di luar pagar sekolah.
Ini kerana tiada pemantauan khas dilakukan oleh pihak berkuasa mengenai perkara itu.
Seorang penjawat awam dari Wangsa Maju, Kuala Lumpur, Norhafizah Saidin, 48, berkata walaupun beliau menyediakan bekalan untuk anaknya ke sekolah sebagai makanan tengahari, anaknya tetap membeli makanan ringan antaranya air minuman bila keluar dari pagar sekolah.
“Saya faham anak saya haus dan kita tak boleh halang kerana cuaca panas. Cuma saya risau sama ada penjaja itu menggunakan air yang bersih atau tidak.
“Jika pun mereka guna air bersih, saya risau pula dengan cara mereka membancuh minuman,” katanya kepada Bernama.
Bagi bapa kepada 2 orang anak dari Batu Berendam, Melaka yang hanya ingin dikenali sebagai Muhammad, 40, beliau tiada masalah penjaja berniaga makanan di luar pagar sekolah, namun mereka perlu ada sikap bertanggungjawab memastikan makanan dijual sesuai untuk kanak-kanak serta bersih.
“Saya tidak risau dengan makanan yang dijual di kantin sekolah kerana pihak sekolah dan kementerian pendidikan mempunyai garis panduan ketat menu yang dijual kepada murid.
“’Apa yang saya risaukan ialah makanan yang dijual di luar pagar sekolah. Kita kadang-kala tidak boleh sekat kehendak anak-anak untuk membeli minuman dan makanan, namun saya ingin cadangkan agar pihak berkuasa memantau peniaga agar mereka menjual makanan dan minuman yang sesuai untuk murid-murid sekolah,” katanya.
Makanan untuk tumbesaran
Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan mempunyai garis panduan berkaitan kepentingan murid sekolah mengambil makanan yang sesuai untuk membantu proses tumbesaran dan pembelajaran mereka.
Menerusi laman sesawangnya, Kementerian Kesihatan menyeru ibu bapa memberi galakan kepada anak masing-masing supaya memilih makanan yang kaya dengan nutrien jika mereka membeli makanan di sekolah.
Mereka perlu memilih makanan seperti buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin, susu dan hidangan kurang berminyak serta kurang gula selain hidangan yang mengandungi produk kekacang seperti tempe dan tauhu selain ayam, daging dan ikan.
Pemilihan makanan yang sesuai penting ketika anak berada di sekolah memandangkan kanak-kanak menghabiskan masa yang panjang di sekolah.
Makanan itu sudah tentu memberi kesan kepada tahap tenaga dan daya tumpuan kepada pelajaran serta mempengaruhi tabiat makan dan tumbesaran.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid dilaporkan sebagai berkata pihaknya berharap dapat bekerjasama dengan Pihak BerkuasaTempatan (PBT) dan Jabatan Kesihatan negeri bagi memantau jualan makanan tidak berkhasiat kepada pelajar di luar kawasan pagar sekolah.
“PBT kena tolong sekolah awasi masalah ini. Perlu kawal makanan yang dijual di luar pagar sekolah,” beliau dipetik sebagai berkata dalam sidang akhbar selepas Majlis Bicara Menteri Pendidikan bersama 238 peserta Program Kelayakan Profesional Pemimpin Kebangsaan di Institut Aminuddin Baki, Nilai baru-baru ini.
Menurut Menteri itu, pihaknya juga sedang giat melaksanakan tindakan penguatkuasaan terhadap pengusaha kantin yang menjual makanan tidak dibenarkan dalam kawasan sekolah.
PBT kena jalankan tanggung jawab sosial
Penulis mendekati beberapa peniaga yang menjual makanan ringan di luar pintu pagar sekolah di Melaka dan mendapati terdapat di kalangan mereka yang langsung tidak mempunyai lesen perniagaan yang dikeluarkan PBT.
Namun salah satu taktik licik peniaga ini ialah menjalankan perniagaan mereka secara bergerak iaitu dengan menggunakan motosikal. Ini membolehkan mereka beredar dengan pantas sekiranya ditegur atau diberi arahan berbuat demikian.
Mengulas perkara ini, pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Dato’ Demang Hussin di Bukit Katil, Melaka, Datuk Yusof Jantan berkata, PBT dan semua pihak terlibat perlu memainkan peranan dalam mengatasi masalah ini.
Beliau berkata PBT serta agensi lain seperti Jabatan Kesihatan perlu membuat pemantauan secara lebih kerap di kawasan luar pagar sekolah bagi memastikan peniaga peraturan.
“Kita faham kuasa pihak sekolah dan kementerian pendidikan hanya di dalam pagar sekolah manakala dil luar kawasan sekolah, kuasa mengawal kegiatan perniagaan terletak di bahu PBT,” katanya.
Beliau berkata kebanyakan daripada makanan dan minuman dijual di luar pagar sekolah adalah makanan ringan yang kurang bekhasiat dan tidak sesuai untuk murid-murid sekolah rendah.
Kata beliau, ramai ibu bapa yang mengadu mengenai masalah itu namun sehingga kini belum ada penyelesaian yang dapat dilakukan secara menyeluruh.
“Niat kita bukan untuk melempar pasir ke peruk nasi peniaga tetapi mahu pihakyang bertanggung jawab memantau barang yang dijual agar ianya tidak mendatang kesan negatif kepada kesihatan anak-anak,” katanya.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram