HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Pahang kena bertindak pulihkan ‘perangkap maut’

-

Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh berkata kerajaan negeri Pahang perlu memulihkan tanah bekas lombong bauksit di negeri itu.

0
Shares
Total Views: 1
fauziahsalleh
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Kuantan mendesak kerajaan negeri Pahang untuk mengambil tindakan segera untuk memulihkan kawasan bekas lombong bauksit.

Fuziah Salleh berkata langkah itu tersekat di peringkat pentadbiran negeri kerana kerajaan persekutuan tidak ada kuasa untuk menangani masalah itu.

Beliau berkata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar memberitahu Parlimen pada tahun lalu yang kerajaan negeri perlu menangani isu itu.

“Wan Junaidi kata dia akan lakukan sesuatu jika tanah itu di bawah bidang kuasa persekutuan. Tetapi isu tanah tempatan di bawah kerajaan negeri,” katanya.

Fuziah berkata beliau melihat perjanjian antara negeri dan pemilik tanah di mana lombong bauksit diwujudkan dan tiada ketetapan untuk pemulihan tanah itu.

“Jadi siapa yang akan bertanggungjawab memulihkan bekas tapak lombong bauksit itu? Kerajaan negeri tidak boleh melepaskan tanggungjawab itu. Jika milik syarikat, ia boleh buat. Agensi kerajaan lain patut membantu,” katanya.

Tahun lalu, dalam jawapannya kepada soalan dikemukakan di Dewan Rakyat, Wan Junaidi berkata tanah seperti itu boleh dipulihkan semula tetapi prosesnya mengambil masa sehingga 50 tahun.

Pada Ahad, 3 kanak-kanak lemas dalam lombong bauksit tinggal di Kuantan. Pada Oktober 2015, seorang remaja lelaki berusia 14 tahun lemas ketika bermain di lombong bauksit lama.

Fuziah berkata kanak-kanak memang sering berenang dalam tasik lombong.

“Lombong itu perangkap maut untuk kanak-kanak yang suka dengan air,” katanya.

Beliau berkata pihak berkuasa perlu bertindak cepat dengan mengisi tanah atau memagar kawasan lombong yang tidak digunakan lagi kerana hujan lebat dijangka melanda Kuantan pada penghujung musim monsun ini.

Masih banyak tasik lombong yang sudah tidak digunakan lagi terletak berhampiran kawasan perumahan di pinggir Kuantan.

“Tasik ini dalam dan mengandungi sisa lombong serta logam berat. Ia menjejaskan kesihatan dan hujan lebat akan menyebabkan air melimpah ke kawasan sumber air tempatan,” katanya.

Susulan tragedi pada Ahad itu, Wan Junaidi mengarahkan Jabatan Mineral dan Geosains untuk mengenal pasti berapa jumlah sebenar lombong tinggal di kawasan itu.

Beliau juga mengarahkan pengendali lombong sama ada mengisi tasik yang tidak digunakan lagi dengan tanah atau memasang pagar dan papan tanda amaran di sekitar kawasan mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.