HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

4 suspek bunuh Kim Jong Nam larikan diri dari Malaysia

-

Polis Malaysia akan bekerjasama dengan Interpol untuk mengesan suspek terbabit.

0
Shares
Total Views: 1
police-kimjongnam-suspect-bahasa
KUALA LUMPUR: Polis sedang memburu 7 lagi suspek lelaki bagi membantu siasatan kes kematian Kim Jong Nam, abang pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong Un, Isnin lepas.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, semuanya berumur dalam lingkungan 30 hingga 50-an.

Beliau berkata, 4 daripadanya disahkan warga Korea Utara yang sudah melarikan diri ke luar negara pada hari kejadian, iaitu Ri Ji Hyon, 33, Hong Song Hac, 34, O Jong Gil, 55, dan Ri Jae Nam, 57.

“Bagaimanapun, kami tidak boleh mendedahkan lokasi negara yang mereka pergi kerana masih dalam siasatan.

“Tiga lagi diperlukan bagi membantu siasatan dengan seorang lelaki dikenal pasti sebagai Ri Ji U, 30, yang juga warga Korea Utara dan 2 lagi sedang dikenal pasti oleh pihak kami,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman hari ini.

Menurut Rashid, keempat-empat suspek yang melarikan diri ke luar negara itu tiba di Malaysia antara 31 Januari hingga 7 Februari lalu.

“Oleh itu, untuk memburu suspek berkenaan, kami akan bekerjasama dengan polis Interpol dari segi perkongsian maklumat,” katanya.

Ditanya pemberita sama ada polis akan bekerjasama dengan kerajaan Korea Utara dalam membantu siasatan kes ini, Rashid berkata, setakat ini, pihaknya tidak akan bekerjasama dengan mana-mana negara kecuali Interpol.

Dalam pada itu, Rashid turut mendedahkan Jong Nam datang ke Malaysia atas urusan peribadi dan enggan mengulas lanjut.

Menyentuh 2 suspek wanita, iaitu Doan Thi Huong, 28, yang memegang pasport Vietnam, dan Siti Aisyah, 25, pemegang pasport Indonesia, serta seorang lelaki tempatan Muhammad Farid Jallaludin, 26, yang ditahan sebelum ini, beliau berkata, mereka direman sehingga Rabu depan.

Suspek ke-4 iaitu warga Korea Utara dikenali sebagai Ri Jong Chol, 47, direman sehingga Jumaat depan.

Ditanya status mayat Jong Nam di bilik mayat Hospital Kuala Lumpur, Rashid berkata, sehingga kini, tiada pihak atau waris yang tampil menuntut mayatnya.

“Oleh itu, polis memberi tempoh 2 minggu kepada waris untuk tampil menuntut mayat Jong Nam sebelum kami membuat keputusan selanjutnya.

“Selain itu, waris juga perlu membawa sebarang surat yang boleh membuktikan pertalian keluarga sebelum dibenarkan menuntut mayat berkenaan,” katanya sambil menambah punca kematian masih dalam siasatan.

Rashid berkata, mayat itu perlu dikenal pasti dan yang paling layak untuk mengenal pasti mayat tersebut adalah waris terdekat.

“Jadi kami perlukan orang seperti anak, kakak atau adik mangsa untuk membantu mengenal pasti mayat,” katanya.

Rashid berkata, motif kejadian dan jenis racun yang didakwa membunuh Jong Nam masih dalam siasatan.

“Kami berharap akan dapat jenis sampel racun dengan secepat mungkin yang boleh membantu siasatan,” katanya.

Isnin lepas, Jong Nam dilaporkan berada di klia2 untuk menaiki penerbangan ke Macau apabila secara tiba-tiba seorang wanita menyerkup mukanya dengan kain yang dipercayai mengandungi cecair beracun.

Jong Nam yang menggunakan nama Kim Chol, dilaporkan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.

3 suspek kes bunuh Jong Nam mungkin sudah ‘cabut’

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.