
Bapanya Datuk Dr Sharifuddin Musa, 45, berkata anaknya Mohd Shahir, 11, masih mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Kuala Lumpur (HKL) menggunakan alat bantuan pernafasan.
Menurutnya, anaknya mengalami 20% melecur di bahagian belakang, selain patah rusuk dan tulang punggung.
“Dia semakin pulih dan mungkin petang ini doktor akan buka bantuan pernafasannya, tetapi perlu melihat keadaan dia terlebih dahulu.
“Setakat ini semuanya baik, dia juga sedar dan memberikan respons positif kepada doktor sekiranya ditanya sakit di bahagian mana. Dia akan gerakkan tangan atau mengangguk,” katanya lapor Bernama.
Dr Sharifuddin berkata anak ke-3 dari 4 beradik itu sememangnya gembira belajar di pusat tahfiz berkenaan dan berjaya menghafal surah Yasin hanya dalam masa tiga bulan.
“Dia seorang pendiam tetapi selepas dia masuk tahfiz itu, dia memaklumkan dia mempunyai ramai kawan,” katanya.
Sehingga kini Mohd Shahir dan 2 lagi pelajar masih mendapatkan rawatan di HKL.
Seramai 21 pelajar dan 2 guru yang juga warden pusat tersebut terkorban akibat terperangkap di asrama yang terletak di tingkat paling atas daripada bangunan tiga tingkat itu dalam tragedi 5.15 pagi Khamis lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh mengumumkan tujuh remaja berusia antara 11 dan 18 tahun ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes kebakaran berkenaan.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram