3 maut dalam nahas lori langgar treler

3 maut dalam nahas lori langgar treler

Ketua polis daerah Segamat berkata, kemalangan itu dipercayai berlaku apabila lori dari arah Batu Anam menghala ke Segamat, tiba-tiba memasuki laluan treler terbabit.

lori-treler-kemalangan
SEGAMAT: Tiga maut dan 2 cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah lori dan sebuah treler di Jalan Pulapol (Jalan Pintasan Segamat), di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira 2.30 petang itu, pemandu lori Rahmani Warni, 58, bersama 2 penumpang lori berkenaan Amir Hassan, 30, dan Eriman Yaatim, 34, terkorban di tempat kejadiaan akibat kecederaan parah, manakala pemandu treler, M Abimanan, 27, dan penumpangnya, S. Rajeswary, 23, hanya cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Segamat, Supt Raub Selamat berkata, kemalangan itu dipercayai berlaku apabila lori dari arah Batu Anam menghala ke Segamat, tiba-tiba memasuki laluan treler terbabit.

“Pemandu treler cuba mengelak ke bahagian kanan jalan, namun tetap bertembung dengan lori tersebut yang datang dari arah bertentangan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata, lokasi kejadian adalah jalan selekoh dengan 2 lorong 2 hala dan terdapat garisan berkembar di tengah jalan sebagai pembahagi jalan.

“Kemalangan berlaku pada waktu petang, cahaya terang, cuaca baik selepas hujan dan permukaan jalan basah,” katanya.

Raub berkata, lori itu mengalami kerosakan teruk pada bahagian depan dan treler pula pada bahagian sisi sebelah kiri depan.

Mayat ketiga-tiga mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Segamat untuk bedah siasat, manakala kenderaan terbabit dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) Segamat untuk pemeriksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.