
Peguamnya Datuk Mohd Imran Tamrin berkata perkara itu dimaklumkan rakan peguamnya di Jakarta, Adherie Zulfikri yang dilantik untuk mewakili Jamal di sana.
“Saya dimaklumkan Datuk Seri Jamal berlepas dari Jakarta ke Kuala Lumpur pada 11 pagi waktu Indonesia hari ini dengan pesawat MH710. Saya dan keluarga beliau ucapkan jutaan terima kasih terutama kepada POLRI serta Imigresen Republik Indonesia yang menjaga serta mengurus penahanan beliau dengan baik.
“Terima kasih juga kepada Kedutaan Malaysia yang membantu dalam penyelarasan penghantaran pulang beliau ke Malaysia serta PDRM yang akan mengiringi beliau,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jamal, 48, yang diburu PDRM sejak lebih sebulan lalu, ditahan POLRI ketika sedang menggunting rambut di sebuah kedai gunting rambut di Jakarta Selatan pada 6.15 petang (waktu Malaysia) Isnin lepas.
Jamal menghilangkan diri selepas didakwa di Hospital Pakar Ampang Puteri pada 25 Mei lepas atas pertuduhan melakukan mudarat awam dengan memecahkan botol arak menggunakan penukul besi di hadapan pintu pagar keluar Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di Shah Alam, Selangor pada 5 Oktober 2017.
Selain itu, beliau turut disiasat atas beberapa kes lagi termasuk mengikut Seksyen 34 Akta Senjata 1960.
Mohd Imran berkata setelah mendapat makluman penahanan Jamal, beliau ke Jakarta pada Selasa dan memandangkan berlainan bidang kuasa serta sistem perundangan, beliau melantik Adherie untuk mewakili Jamal.
Mohd Imran berkata beliau ke POLDA Metro Jaya, Jakarta tempat Jamal ditahan dan berkesempatan menemui anak guamnya, yang berada dalam keadaan sihat dan baik.
Proses merakam keterangan dan dokumentasi turut dilakukan di POLDA Metro Jaya selain dibawa ke Imigresen Indonesia untuk proses dan dokumentasi imigresen, semalam.
“Setelah selesai, beliau dibawa semula ke POLDA Metro Jaya dan saya juga telah dimaklumkan oleh rakan peguam saya bahawa beliau akan dihantar pulang pada 5 Julai (hari ini),” katanya.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram