HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Anwar, Bajet 2019 PH jadi tumpuan sidang Dewan Rakyat bermula hari ini

-

Bajet 2019 yang akan dibentangkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada 2 Nov antara yang ditunggu-tunggu untuk melihat penyusunan belanjawan oleh kerajaan persekutuan.

0
Shares
Total Views: 3
Free Malaysia Today
Anwar kembali ke Dewan Rakyat sebagai Ahli Parlimen Port Dickson selepas menang pilihan raya kecil Sabtu lepas. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR:
Mesyuarat Kedua, Penggal Pertama Parlimen ke-14 yang bermula hari ini bakal menyaksikan pembentangan Bajet 2019, belanjawan sulung kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas mengambil alih pentadbiran negara daripada Barisan Nasional (BN) yang berkuasa lebih 60 tahun.

Bajet yang akan dibentangkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada 2 Nov itu antara yang ditunggu-tunggu rakyat untuk melihat penyusunan belanjawan oleh kerajaan persekutuan ketika negara berdepan cabaran dari segi kedudukan fiskal.

Lim sebelum ini dilaporkan mengakui Bajet 2019 adalah belanjawan yang sukar bagi bagi kerajaan persekutuan.

Walaupun Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri ada membayangkan peruntukan Bajet 2019 akan dikurangkan berbanding sebelum ini berikutan keadaan ekonomi negara yang kurang memberangsangkan, ramai yang masih menaruh harapan agar kerajaan baru itu tidak mengabaikan kesejahteraan ekonomi rakyat.

Dalam Bajet 2018, kerajaan BN memperuntukkan RM280.25 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan pembangunan.

Persidangan kali ini juga akan menyaksikan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali ke Dewan Rakyat sebagai Ahli Parlimen Port Dickson selepas menang pilihan raya kecil (PRK) Sabtu dengan majoriti besar 23,560 undi.

Kekosongan kerusi Parlimen itu berlaku berikutan peletakan jawatan penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, bagi memberi laluan kepada Anwar untuk menjadi perdana menteri kelapan.

Kali terakhir bekas timbalan perdana menteri itu bertanding ialah pada pilihan raya umum ke-13 pada 2013 di kerusi Parlimen Permatang Pauh yang menyaksikan beliau menewaskan Mazlan Ismail (BN) dan Abdullah Zawawi Samsudin (Bebas) dengan majoriti 11,721 undi.

Kelayakan Anwar sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh terlucut selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara 5 tahun selepas menolak rayuannya terhadap hukuman penjara pada Februari 2015.

Bagaimanapun, beliau diberikan pembebasan serta-merta selepas mendapat perkenan pengampunan penuh Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V pada 16 Mei lepas, 7 hari selepas PH diberi mandat memerintah.

Komposisi kerusi Parlimen pada persidangan kali ini juga menyaksikan perubahan dengan kerusi BN hanya tinggal 51 berikutan perkembangan terbaru apabila 3 anggota Umno bertindak keluar parti, iaitu Ahli Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed, Datuk Seri Anifah Aman (Kimanis) dan Datuk Rozman Isli (Labuan).

Mustapa dan Anifah kini menjadi Ahli Parlimen Bebas manakala Rozman membuat keputusan untuk menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan).

Ini menjadikan Dewan Rakyat kini mempunyai 5 Ahli Parlimen Bebas manakala Warisan menokok satu kerusi menjadikan 9 kerusi bagi parti itu di Dewan Rakyat.

Kerusi Parlimen bagi parti lain tidak berubah dengan PKR memegang 50 kerusi, DAP (42), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) (13), Parti Amanah Negara (Amanah) (11), Gabungan Parti Sarawak (GPS) (19), PAS (18) dan parti tempatan Sabah iaitu UPKO, PBS, PBRS dan Star masing-masing mempunyai satu kerusi Parlimen.

Seperti yang diuar-uarkan, usul untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 dan undang-undang yang mengenakan hukuman gantung sampai mati juga dijangka menjadi antara agenda utama yang akan menghangatkan perbahasan sesi mesyuarat kali ini.

Laporan media sebelum ini juga menyebut keputusan mengenai pemansuhan undang-undang itu telah dimaklumkan kepada Jabatan Peguam Negara dan Peguam Negara sedang menyediakan perundangan yang sewajarnya untuk memansuhkan undang-undang itu.

Sebelum pilihan raya umum 9 Mei lepas, PH berikrar untuk menghapuskan úndang-undang yang menindas termasuklah Akta Hasutan 1948, Akta Pencegahan Jenayah 1959, Akta Universiti Kolej Universiti 1971, Akta Penerbitan dan Media Cetak 1984, Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 dan undang-undang yang mengenakan hukuman gantung sampai mati.

Persidangan Parlimen yang akan berlangsung selama 30 hari itu juga akan menyaksikan Pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas (KSP RMKe-11) oleh Dr Mahathir pada 18 Okt.

Setiausaha Dewan Rakyat Datuk Roosme Hamzah dalam kenyataan baru-baru ini berkata perbahasan KSP RMK-11 akan berlangsung pada minggu kedua dan diikuti dengan menteri menjawab pada minggu ketiga.

“Pembentangan Belanjawan 2019 pula akan diadakan pada 2 Nov pukul 4 petang, diikuti dengan perbahasan belanjawan itu di peringkat dasar pada minggu keempat dan kelima, seterusnya dibawa ke peringkat jawatankuasa pada minggu ketujuh dan kelapan.

“Dua hari terakhir akan diperuntukkan bagi rang undang-undang dan urusan kerajaan yang lain pada minggu kesembilan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.