HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Bekalan ayam cukup, tak pernah eksport ke Vietnam, kata persatuan penternak

-

Malaysia mengeksport ayam ke Singapura sahaja, kata presiden FLFAM

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Gambar Bernama

PETALING JAYA:
Persekutuan Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) menafikan negara sedang mengalami kekurangan bekalan ayam yang akan menyebabkan kenaikan harga.

Presiden Datuk Jeffrey Ng berkata, bekalan ayam ketika ini mencukupi dan tiada masalah seperti yang dinyatakan taikun peruncitan, Datuk Ameer Ali Mydin.

“Saya beri jaminan bekalan ayam mencukupi. Kita juga sudah bermesyuarat dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan pejabat veterinar dengan data-data yang kita ada dan tidak menunjukkan bekalan itu mempunyai masalah.

“Saya juga ada beri jaminan kepada kementerian kalau mana-mana tempat yang berkurangan beritahu dengan kita. Kita akan cuba uruskan,” katanya kepada FMT.

Ameer baru-baru ini menggesa kerajaan menghentikan pengeksportan ayam yang berdepan masalah kekurangan bekalan dan akan menyebabkan kenaikan harga.

Pemilik pasar raya besar Mydin itu berkata, bekalan ayam untuk kedainya berkurang 50% kerana pembekal beliau juga berhadapan kekurangan bekalan.

“Ayam habis dijual di pasar raya kami menjelang tengah hari,” katanya.

“Kekurangan ini mungkin menyumbang kepada kenaikan harga RM3 hanya dalam sebulan, daripada RM6 kepada RM9 sekilo.”

Ameer turut merujuk laporan harga ayam naik secara mendadak daripada RM7.70 kepada RM10 sekilo di Johor Bahru.

Ng berkata kenaikan harga ayam itu mungkin berpunca daripada pembekal sendiri yang bertindak mengenakan harga tinggi.

Katanya ketika ini, harga ayam masih terkawal dan tidak menunjukkan peningkatan yang ketara seperti didakwa.

“Bagaimana kita tetapkan harga itu tinggi atau rendah, itu persepsi seseorang. Kita susah nak cakap. Tapi untuk kita, bekalan ayam mencukupi.

“Masalah Mydin tidak dapat ayam tu, dia kena tanya pembekal. Kita juga tidak boleh cakap apa-apa sebab untuk kita, kita memang lihat di pasar-pasar lain ayam mencukupi,” katanya lagi.

Ng turut menafikan kebanyakan ayam kini dieksport ke Vietnam sehingga menyebabkan kekurangan bekalan ayam di negara sendiri.

Beliau berkata, Malaysia tidak pernah sekali pun mengeksport ayam ke negara itu, dan Singapura sahaja menjadi rakan dagang untuk mengeksport ayam sejak berpuluh tahun dulu.

“Kita juga tidak boleh eksport ayam ke Vietnam sebab kita tidak ada permit untuk pergi ke Vietnam.”

Baru-baru ini, sebuah akhbar memetik seorang penjual sebagai berkata, kebanyakan ayam dieksport ke Vietnam yang mengalami kekurangan akibat penularan wabak selsema burung H5N1.

Peniaga itu juga dilaporkan berkata, harga ayam dari ladang juga meningkat kerana harga makan lebih tinggi dan nilai mata wang ringgit yang lebih rendah.

Sementara itu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen ketika dihubungi berkata, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara itu selepas siasatan penuh dijalankan.

“Saya telah arah pegawai saya untuk menyiasat keadaan itu dan kita akan maklumkan selepas siasatan dibuat. Kita akan buat siasatan di seluruh negara dan akan ambil tindakan sewajarnya selepas itu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.