
Akhbar itu melaporkan penganalisis teknologi maklumat, Shane Anthony Mills dipilih mewakili India berucap di persidangan Kumpulan Sumber Pekerja Dell di Pulau Pinang pada 28 Januari ini.
Menurut laporan itu, sebagai penyokong hak transgender di India, dia dipilih bercakap mengenai subjek “kebanggaan”, tetapi masalah timbul dalam permohonan visa kerana laman web kerajaan Malaysia tidak menyediakan pilihan ke-3 dalam ruang jantina, selain lelaki dan perempuan.
“Saya menghubungi Konsulat Malaysia di Chennai untuk mendapatkan bantuan.
“Saya terkejut apabila mereka meminta saya menukar jantina saya kepada ‘lelaki’ dalam pasport dan memohon semula,” katanya dipetik akhbar itu.
Mills kemudian memohon bantuan Menteri Luar India, Sushma Swaraj.
“Saya pernah lihat beliau tampil membantu ramai rakyat India yang tersadai di luar negara.
“Saya harap beliau akan tampil membantu seorang transgender juga,” katanya.
Mills berkata, tujuan lawatannya ke Malaysia bukan untuk makan angin, tetapi mewakili India dalam satu persidangan.
Menurut laporan itu, dia turut menghubungi Konsulat India di Malaysia, tetapi kakitangan konsulat tersebut seolah-olah kebuntuan mengenai perkara berkenaan.
“Saya melalui banyak (pengalaman); dari pembedahan untuk pertukaran jantina kepada menyediakan surat-surat berkaitan, selepas keputusan Mahkamah Tinggi pada 2014.
“Sekarang, adalah sesuatu yang sangat memalukan apabila sekali lagi saya dikehendaki menukar jantina.”
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram