HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Saya tinggalkan SRC kerana pengarah urusan, kata bekas pengerusi

-

Ismee Ismail berkata, beliau tidak bersetuju dengan cara Nik Faisal Ariff Kamil menguruskan akaun dan kewangan SRC.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Ismee Ismail berkata, lembaga pengarah SRC perlu mendapatkan nasihat Najib sebelum membuat sebarang keputusan.

KUALA LUMPUR:
Bekas pengerusi lembaga pengarah SRC International Sdn Bhd, Ismee Ismail hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi, beliau meletak jawatan daripada syarikat itu kerana tidak bersetuju dengan cara pengurusan pengarah urusannya.

Saksi ke-39 dalam perbicaraan kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa Najib Razak hari ini berkata, sebahagian besar sebab beliau meletak jawatan disebabkan cara Nik Faisal Ariff Kamil menguruskan akaun dan kewangan SRC.

“Kebanyakan tindakan berkaitn SRC dilakukan Nik Faisal atas kapasitinya sebagai pengarah urusan dan ketua pegawai operasi syarikat,” katanya ketika membaca keterangan saksi.

Katanya, beliau meletak jawatan pada 6 Mei 2014, tetapi ia hanya berkuat kuasa 15 Ogos tahun sama.

Sepanjang tempoh itu, Ismee berkata, beliau tidak aktif dalam pengurusan SRC.

Ismee berkata, beliau dilantik sebagai pengarah SRC pada 7 Januari 2011 ketika syarikat itu di bawah 1MDB.

Beliau dilantik pengarah bukan eksekutif 1MDB pada 2009 ketika syarikat itu di bawah Menteri Kewangan (Diperbadankan).

Ismee berkata, Najib yang merupakan perdana menteri dan menteri kewangan ketika itu melantiknya sebagai pengerusi SRC.

Najib berdepan 6 pertuduhan pengubahan wang dan pecah amanah dalam pemindahan RM42 juta ke akaunnya dari SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.

Beliau juga didakwa menyalahgunakan kuasa sebagai perdana menteri dengan memberi jaminan kerajaan ke atas pinjaman RM4 bilion SRC International daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).

Ismee yang kini bekerja sendiri berkata, lembaga pengarah SRC perlu mendapatkan nasihat Najib yang merupakan “adviser emeritus” sebelum membuat sebarang keputusan.

“Nik Faisal ialah ‘link’ antara lembaga pengarah dan Najib. Sebarang perbincangan atau keputusan berkaitan SRC perlu dibawa ke perhatian perdana menteri.”

Ismee turut membangkitkan isu tadbir urus dalam kerja harian SRC.

“Jawapan standard Nik Faisal ialah ia sudah dibincang dan dipersetujui ‘kerajaan’. Pada pendapat saya, kerajaan yang dirujuk Nik Faisal ialah Najib,” katanya ketika pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd Yusoff.

Katanya, beliau juga menyedari Najib yang melantiknya sebagai pengarah SRC, oleh itu menteri terbabit mempunyai kuasa untuk memecatnya.

“Saya sedar dan tahu Najib mempunyai kuasa mutlak untuk mengambil dan memecat mana-mana pengarah SRC.”

Perbicaraan diteruskan di depan Hakim, Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.