![Free Malaysia Today](/_next/image/?url=https%3A%2F%2Fmedia.freemalaysiatoday.com%2Fwp-content%2Fuploads%2F2019%2F03%2FFMT-ppr-sri-melaka-cheras-10032019-1.jpg&w=3840&q=75)
Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) mencadangkan beberapa kaedah, termasuk mengurangkan pembabitan kerajaan secara langsung dalam pembinaan rumah kos rendah dan kos kawal selia yang perlu ditanggung pemaju.
Felo kanan Ideas, Carmelo Ferlito memberitahu FMT segmen bawahan bukannya tidak menguntungkan secara semula jadi.
“Tetapi pemaju mengelakkannya kerana ia menjadi tidak menguntungkan disebabkan beberapa halangan kawal selia.”
Ferlito menulis kertas dasar Ideas bertajuk “Pasaran Hartanah, Kemampuan dan Dasar Perumahan Negara” yang dikeluarkan hari ini.
Dalam kertas itu, beliau memberi amaran mengenai syarat ketat pembangunan kos rendah dalam Dasar Perumahan Negara perlu dielakkan bagi memudahkan bekalan dan permintaan, dengan mengambil kira faktor lokasi serta saiz.
“Dasar Perumahan Negara menetapkan saiz minimum bagi rumah kos rendah.
“Tetapi, ini hanya sesuai dibangunkan jauh dari pusat ekonomi seperti bandar disebabkan kos tanah yang tinggi.
“Bagaimanapun, hanya disebabkan rumah lebih murah kerana jauh dari bandar, ia tidak bermakna rakyat mahu membelinya.
“Ada yang lebih suka mempunyai rumah kecil, jika ia dekat dengan tempat kerja mereka.”
Katanya, walaupun teknologi akan membantu mengurangkan kos pembangunan hartanah, pemaju masih memerlukan kebebasan untuk bertindak balas terhadap keperluan pasaran dan tidak dikekang syarat ditetapkan kerajaan.
Ferlito yang juga ahli ekonomi berkata, kerajaan patut mempertimbangkan cara ia boleh memainkan peranan dalam pasaran sewa rendah berbanding hanya memikirkan bekalan rumah mampu milik untuk jualan.
Katanya, ini kerana pasaran sewa mungkin berkembang pada masa depan dan generasi muda lebih cenderung menyewa berbanding membeli hartanah.
“Dalam perspektif ini, kerajaan mungkin memainkan peranan berbeza seperti memastikan bekalan rumah jamin sewa, di mana ia menjamin pinjaman untuk pemaju melabur dalam projek mampu milik.”
Dengan berbuat demikian, katanya, ia akan menjadikan projek perumahan berdaya maju dari segi ekonomi dan mampu dimiliki.
Dasar Perumahan Negara yang dilancarkan Januari lalu, termasuk Dasar Perumahan Mampu Milik Negara (DRMM), sebuah program baru menyasarkan golongan miskin B40.
DRMM akan menggariskan spesifikasi dan panduan untuk pembangunan rumah mampu milik oleh kerajaan persekutuan, negeri dan sektor swasta, termasuk menetapkan keluasan minimum rumah mampu milik sekurang-kurangnya 900 kaki persegi dan berharga bawah RM300,000.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram