
Perdana menteri berkata, Chin Peng sudah meninggal dunia dan ia tidak patut dijadikan isu serius memandangkan negara pernah dijajah Jepun, tetapi rakyat tidak menoleh ke belakang.
“Dia sudah mati dah, banyak orang yang dahulunya mendera kita, macam orang jepun. Kita lupakan yang lama, bukannya dia boleh buat apa, cuma abu mayatnya saja.
“Kita bagi Shamsiah Fakeh, Rashid Maidin datang ke Malaysia, tidak ada sesiapa buat aduan. Kenapa, adakah sebab dia Melayu?
“Benda macam ini yang hendak dibangkitkan untuk apa, hendak puaskan hati siapa? Adakah perlu kutip abu itu balik dan hantar ke luar negeri? Benda seperti itu hendak korek, hendak burukkan kerajaan,” katanya pada sidang media di Korea Selatan hari ini.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed dilaporkan berkata, polis sedang menyiasat dakwaan abu mayat Chin Peng dibawa masuk ke Malaysia.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 504 dan Seksyen 505 (B) Kanun Keseksaan, iaitu dengan niat hendak menimbulkan ketakutan kepada awam, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Mahathir berkata, sukar untuk mana-mana pihak mengesan abu mayat yang dibawa kerana ia tentunya diletakkan dalam bekas.
“Macam mana hendak tahu, dia bawa abu mayat itu dalam bekas. Kita tidak tahu, siapa hendak tengok dalam bekas itu, kalau tengok pun nampak abu. Apa yang kita dapat sebelum ini kita letak ketepi dan kita cari apa yang kita tidak dapat.”
Kelmarin, media melaporkan abu mayat Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua dibawa masuk 2 bulan lalu dan ditabur ke laut serta banjaran Titiwangsa.
Sebuah kumpulan yang menguruskan perkara itu berkata, abu mayat Chin Peng tiba di Ipoh pada 16 Sept lalu dan 150 individu menghadiri majlis peringatan yang diadakan pada hari sama.
Chin Peng yang lahir di Sitiawan, Perak pada 1924 meninggal dunia di sebuah hospital di Bangkok pada usia 90 tahun dan kerajaan ketika itu melarang mayat atau abunya dibawa pulang ke Malaysia.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram