Fokus peluang kerja rakyat terjejas, henti debat cuti Thaipusam, kata MTUC

Fokus peluang kerja rakyat terjejas, henti debat cuti Thaipusam, kata MTUC

Semua pihak perlu fokus kepada bagaimana cara menghapuskan Covid-19 dan menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat terjejas.

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berkata keutamaan pekerja pada masa kini adalah memastikan ada makanan perlu diberi kepada keluarga.
PETALING JAYA:
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mendesak ahli politik berhenti menjadikan isu cuti Thaipusam sebagai perdebatan bagi mendapat sokongan kumpulan pekerja.

Setiausaha Agung MTUC Kamarul Baharin Mansor berkata, sebaliknya fokus utama perlu diberikan bagaimana cara menghapuskan Covid-19 dan menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat terjejas.

“Keutamaan pekerja pada masa kini adalah memastikan ada makanan perlu diberi kepada keluarga,” katanya dalam kenyataan.

Dalam perkembangan sama, pihaknya mendesak Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor mengembalikan cuti Thaipusam kepada golongan pekerja.

Ia disebabkan sambutan Thaipusam amat penting kepada pekerja penganut Hindu dan pemberian cuti kepada pekerja adalah satu pengiktirafan bagi mereka.

“Cuti hari Thaipusam bermakna pekerja tidak perlu memohon cuti tahunan untuk melakukan ibadat mereka. Ini adalah kemudahan yang perlu diberikan kepada pekerja dan amalan yang perlu dipertahankan untuk keharmonian negara ini,” katanya.

Rabu lalu, Sanusi mengumumkan kerajaan Kedah membatalkan cuti peristiwa Thaipusam tahun ini, susulan pembatalan semua aktiviti perayaan itu kerana pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) untuk memerangi Covid-19.

Bagaimanapun, pengumuman itu mendapat kritikan antaranya daripada pemimpian MIC dan DAP yang menganggap keputusan berkenaan sebagai berat sebelah.

Mengulas lanjut, Kamarul berkata, pihaknya melihat pembatalan cuti Thaipusam itu adalah langkah ke belakang dibuat kerajaan Kedah untuk pekerja.

Kamarul berkata, pemberian cuti Thaipusam tidak akan merugikan negara malam akan mewujudkan semangat menghormati antara agama.

“Pengembalian cuti Thaipusam akan memastikan keharmonian negara tercapai,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.