
Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, sebarang upacara perarakan tidak dibenarkan dan aktiviti ziarah hanya boleh melibatkan anggota keluarga di rumah sahaja.
Bagaimanapun, kerajaan membenarkan perarakan Pedati Perak Kuil Sri Subramaniar Swamy Batu Caves membawa arca Dewa Murugan dan dua isterinya iaitu Dewi Valli dan Devi Theivanai dari Kuil Sri Maha Mariamman di Jalan Tun H S Lee.
Ismali berkata, perarakan membawa pedati hanya dibenarkan 10 peserta saja tanpa melibatkan orang awam.
Sementara itu, pengerusi jawatankuasa kuil berkenaan R Nadarajah berkata, 10 orang yang menyertai perarakan pedati setinggi 7.3m itu terdiri daripada pemandu, penjaga wayar kabel, penjaga lampu pedati, sami kuil dan lima ahli jawatankuasa kuil.
Katanya, pedati itu akan bergerak ke Batu Caves, yang terkenal dengan patung Dewa Murugan terbesar di dunia setinggi 42.7m, tanpa alunan muzik tradisional dan tidak akan berhenti di mana-mana lokasi selain dikawal ketat polis.
Beliau juga meminta penganut Hindu supaya tidak menyertai perarakan itu atau hadir ke kuil pada hari Thaipusam yang akan disambut pada 28 Jan ini dan berharap penganut memahami situasi negara yang kini berdepan ancaman pandemik Covid-19.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram