
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Noorzainy Mohd Noor, berkata hasil siasatan mendapati punca kejadian adalah kerana suspek tidak berpuas hati terhadap mangsa yang merupakan pekerja kilang memproses ayam.
“Hasil siasatan mendapati punca kejadian adalah kerana suspek tidak berpuas hati terhadap mangsa yang menggunakan keretanya untuk bertemu rakan sehingga kehabisan minyak sebelum ditinggalkan di tepi jalan.
“Suspek dan mangsa keesokannya pergi semula ke lokasi kereta ditinggalkan namun selepas diisi minyak, kenderaan itu tidak boleh bergerak kerana rosak,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Difahamkan, tindakan suspek itu cuba dihalang oleh ibu dan jirannya namun tidak dihiraukan. Suspek terus membakar motosikal itu, kemudian mengambil gambar dan dihantar kepada mangsa.
Susulan itu, mangsa membuat laporan polis dan suspek lelaki berusia 40 tahun ditahan kira-kira 1 tengah hari semalam.
Noorzainy berkata, mangsa memaklumkan dia meninggalkan motosikalnya di kilang terbabit sejak seminggu lalu kerana kerosakan kecil.
“Mangsa berusia 35 tahun membuat laporan polis pagi kelmarin memberitahu dalam kejadian kira-kira 6 petang Selasa lalu dia mendapati motosikal miliknya yang ditinggalkan di kilang tempatnya bekerja hanya tinggal kerangka.
“Dia mengesyaki bahawa motosikalnya itu dibakar majikannya berikutan berlaku perselisihan faham antara mereka sehari sebelum kejadian. Tambahan pula mangsa memperoleh gambar motosikalnya dalam keadaan terbakar yang dihantar majikannya melalui telefon bimbit,” katanya.
Beliau berkata, melalui laporan itu polis membuat tangkapan ke atas suspek dan merampas pelbagai barangan antaranya telefon bimbit, cebisan kain berwarna coklat yang terdapat kesan terbakar, pemetik api dan sekeping papan nombor pendaftaran motosikal yang dibakar untuk tindakan lanjut.
Katanya, ujian saringan air kencing mendapati suspek bebas dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan,” katanya.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram