HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Polis rampas 221 mesin bitcoin, tahan empat lelaki

-

Ketua Polis Daerah Timur Laut Soffian Santong berkata polis berjaya membongkar kegiatan sindiket perlombongan bitcoin haram dengan membuat serbuan di empat lokasi.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Polis kini giat mengesan rangkaian sindiket yang dipercayai masih berada di sekitar Pulau Pinang. (Gambar Bernama)

GEORGE TOWN:
Polis Pulau Pinang merampas 211 lagi mesin bitcoin bernilai RM100,000 berikutan penahanan empat lelaki semalam yang menjalankan kegiatan perlombongan mata wang digital bitcoin secara haram dalam beberapa siri serbuan, sejak malam tadi hingga awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Soffian Santong berkata hasil soal siasat ke atas empat lelaki yang ditahan pada tengah hari semalam itu, polis berjaya membongkar kegiatan sindiket perlombongan bitcoin haram dengan membuat serbuan di empat lagi lokasi, sebelum merampas 211 lagi mesin bitcoin.

“Dalam serbuan pertama di sebuah rumah kedai di Lintang Hajjah Rehmah di sini, kami merampas 78 mesin bitcoin, set komputer, router modem dan kipas. Serbuan seterusnya di sebuah premis, di Jalan Jelutong sebanyak 48 mesin bitcoin dirampas bersama pelbagai barangan lain.

“Serbuan di Sungai Dua pula, polis merampas 38 mesin bitcoin dan serbuan di rumah kedai di Lintang Sungai Tiram, Bayan Lepas dekat sini, kami merampas 47 mesin bitcoin termasuk set komputer, router modem dan kipas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, polis telah melakukan tiga serbuan di sekitar Jelutong yang bermula 12.30 tengah hari dan berjaya menahan empat lelaki dan merampas 200 mesin bitcoin bernilai RM80,000 di rumah kedai berkenaan.

Soffian berkata pihaknya kini sedang giat mengesan rangkaian sindiket itu yang dipercayai masih berada di sekitar negeri ini untuk siasatan lanjut.

“Empat lelaki berusia 20 hingga 35 tahun yang ditahan dalam tiga serbuan awal semalam itu kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata siri serbuan dan pemeriksaan yang dijalankan itu dibuat dengan lkerjasama Tenaga Nasional Berhad(TNB) kerana premis terlibat dipercayai menggunakan bekalan elektrik secara haram.

“Pemeriksaan TNB mendapati kabel elektrik di semua premis berkenaan telah diubah suai dan bertujuan untuk mencuri bekalan elektrik. Pihak TNB telah mengambil tindakan segera dengan memotong semua bekalan elektrik di empat rumah kedai tersebut,” katanya.

Katanya, berdasarkan siasatan awal kerugian yang dialami TNB membabitkan tujuh premis yang diserbu itu ialah RM420,000 bagi tempoh dua bulan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.