HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Kucing ‘terkejut’ raih ramai peminat

-

Fedya yang mengalami kecacatan pada wajah mencuri perhatian netizen di internet.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Fedya kini mempunyai lebih 4,000 pengikut di Instagram. (Gambar Natalia Zhdanova)

Seekor kucing comel menjadi bualan di internet apabila kecacatan kekal yang dialami pada wajah menyebabkan reaksi mukanya kelihatan seperti sedang terkejut.

Pemiliknya, Natalia Zhdanova, 40, dari Rostov, Russia mengambil kucing terbabit ketika ia hanya berusia beberapa hari selepas ditemui di taman belakang rumahnya.

Dia berkata, kucing bernama Fedya itu ditemui dalam keadaan lemah dan sakit selepas ditinggalkan oleh ibunya, hampir dua tahun lalu.

Menurutnya, keadaan Fedya begitu teruk ketika itu menyebabkan dia mengambil dan menjaganya dengan bantuan kucing milik jiran, Handsome.

Katanya, Handsome datang melihat anak kucing itu pada setiap hari dan gambarnya bersama Fedya sering dimuat naik di akaun Instagram yang sehingga kini sudah mempunyai lebih 4,000 pengikut.

“Ketika saya menemuinya, Fedya amat lemah dan hampir mati. Handsome sentiasa membersihkannya seperti bapa menjaga anak,” kata Zhdanova.

Bagaimanapun, wanita itu berkata dia tidak pasti apa yang menjadi punca kepada kecacatan kucingnya dan mengesyaki ia mungkin disebabkan masalah genetik atau kesan akibat terjatuh dari pagar ketika dibawa ibunya.

“Saya tidak pasti sama ada ini adalah kecacatan akibat genetik atau ia pernah terjatuh ketika dilahirkan. Apa yang penting, Fedya kini sihat, aktif serta bijak.

“Fedya dan Handsome langsung tidak pernah berenggang. Mereka adalah sahabat baik,” katanya.

Zhdanova berkata, dia terkejut dengan penerimaan netizen terhadap kucingnya di media sosial dan tidak sangka Fedya mempunyai ramai peminat.

“Saya sangat terkejut dengan populariti Fedya. Bagi saya, dia adalah kucing biasa dengan penampilan unik. Ia adalah satu perkara yang menyenangkan apabila ramai menyukai Fedya,” katanya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke fmtohsem@freemalaysiatoday.com

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.