HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

‘Tinggal’ di jalanan, dugaan penarik beca P Pinang yang sepi tanpa pelancong

-

Sebilangan besar yang kehilangan tempat tinggal menetap dalam beca mereka dan bergantung kepada bantuan untuk terus hidup.

0
Shares
Total Views: 1

GEORGE TOWN:
Ibrahim Mohamad menjadi penjaga tempat letak kenderaan Majlis Bandaraya Pulau Pinang sejak 12 tahun lalu.

Dengan mengayuh basikal di jalan-jalan utama di sini, beliau akan mengutip 40 hingga 80 sen sebagai bayaran letak kenderaan menggunakan tiket tulisan tangan. Hasil pendapatannya, kira-kira RM1,800 sebulan, dianggap cukup besar baginya.

Kemudian, pada 2014, sistem chit letak kendaraan itu ditukar dengan sistem kupon. Perubahan sistem itu mengakibatkan Ibrahim serta lagi 300 pekerja, yang kebanyakannya warga emas, hilang pekerjaan.

Ibrahim bagaimanapun terus mencari rezeki dengan menjual kupon dari pintu ke pintu tetapi berputus asa kerana hasilnya yang rendah.

Beliau kemudian mengambil keputusan untuk mencuba nasib menjadi penarik beca di Tapak Warisan Dunia itu. Hasilnya agak lumayan kerana ratusan penumpang kapal persiaran dari Terminal Swettenham berpusu-pusu mahu masuk ke bandar.

Pada hari yang mendapat sambutan, beliau memperoleh sekitar RM80 hingga RM100.

Namun, pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) tahun lalu sekali lagi merubah nasibnya. Tiada lagi kelibat pelancong di terminal kapal persiaran.

15 bulan berlalu, keadaan itu mendesak Ibrahim melepaskan bilik sewanya yang dikongsi beramai-ramai kerana tidak mampu membayar sewa RM200.

Free Malaysia Today
Penunggang beca Ibrahim Mohamad (depan) dan Azmi Saad di Jalan Ah Quee, George Town, yang dianggap sebagai ‘rumah’ mereka.

Kini, beliau dan rakannya, yang juga penarik beca, Azmi Saad, 47, “tinggal” di jalan-jalan kosong sekitar bandar George Town.

Mereka menumpang mandi di tandas awam berdekatan, selain menunggu sumbangan orang yang tidak dikenali untuk mengisi perut.

Bukan bagi mereka saja, namun realiti pahit ini perlu ditelan sekitar 300 penarik beca di kawasan pelancongan bandar George Town dan Batu Ferringhi.

Ibrahim berkata, bahagian belakangnya mula sakit-sakit akibat tidur dalam beca.

Beliau dan Azmi berteduh di pekarangan sebuah pangsapuri di Jalan Ah Quee, yang menjadi tempat operasi sebuah kumpulan yang menolong orang miskin, Urban Life Volunteers.

Di sebalik kesempitan hidup dihadapinya, beliau masih memikirkan golongan yang lebih susah.

“Tak payah risaukan kami. Bagaimana dengan kira-kira 100 orang penarik beca di sekitar bandar ini yang tiada tempat tinggal?

“Kerajaan mesti buat sesuatu untuk bantu (mereka) segera,” katanya.

Free Malaysia Today
Wakil alumni Sekolah St Mark’s 1971-1974 Vijay Xavier menyerahkan cek bernilai RM6,200 kepada pengasas Urban Life Volunteers Sarah Abdullah. Mereka diiringi Ibrahim Mohamad dan Azmi Saad.

Menurut angka yang didedahkan semasa penyampaian bantuan kerajaan negeri tahun lalu, terdapat sekitar 300 penarik beca di Pulau Pinang.

Ibrahim berkata, ketika pergi ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) baru-baru ini, beliau terkejut kerana salah satu syarat untuk mendapatkan bantuan bulanan adalah perlu mempunyai alamat tetap.

“Kenapa JKM tidak boleh pertimbangkan dan faham masalah kami?” soalnya.

Terdahulu, beliau menerima sejumlah bantuan daripada alumni 1971 hingga 1974 Sekolah St Mark Butterworth. Vijay Xavier, yang mewakili 33 bekas pelajar, menyampaikan sumbangan sebanyak RM6,200 kepada kumpulan Urban Life Volunteers, yang membantu golongan penarik beca itu.

Sementara itu, Ketua Persatuan Penarik Beca Pulau Pinang, Abdul Latiff Mohd berkata, situasi dihadapi penarik beca sangat sukar.

Katanya, sebahagian besar ahli persatuannya yang berdaftar adalah warga emas dan tidak dapat mencari pekerjaan. Mereka tidak hanya mengharapkan bantuan, malah bersedia bekerja keras sebagai penarik beca.

“Kami tak kisah jadi tukang sapu sekalipun. Saya sudah tanya pihak majlis bandaraya, tetapi sehingga kini tak ada berita,” katanya.

“Bagaimana kami nak dapat satu ringgit sekalipun kalau tak ada orang semasa ‘lockdown’?”

Pihak majlis bandaraya memberi elaun RM100 sebulan kepada penarik beca yang berdaftar, yang bertujuan untuk menambah pendapatan mereka yang kecil, tetapi tanpa pekerjaan, jumlah itu tidak bertahan lama.

Latiff memohon majlis bandaraya menaikkan jumlah bantuan kepada RM500, supaya mereka dapat membayar sewa dan membeli makanan. Kerajaan negeri mampu berbuat demikian, katanya, kerana penarik beca Melaka diberikan RM400 baru-baru ini sebagai bantuan semasa wabak.

Latiff berkata sebelum wabak melanda, kebanyakan penarik beca memperoleh RM1,000 hingga RM1,300 sebulan, kebanyakannya daripada pelancong asing.

Sebilangan besar mengenakan bayaran RM40 hingga RM60 sejam untuk perjalanan di sekitar Tapak Warisan Dunia George Town itu.

“Kini, tiada siapa nak naik (beca), walaupun dengan harga RM3 atau RM5. Kami benar-benar mengemis (untuk mendapatkan penumpang) dan kami tiada hala tuju kerana beca ini adalah rumah kami.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.