
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan Dr Harlina Abdul Rashid berkata, kenderaan tersebut juga tidak dibenarkan beroperasi serta-merta.
Menurutnya, Pasukan Unit Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) telah menjalankan siasatan dan tidak menolak kemungkinan terdapat kebocoran gas dalam ambulans berkenaan.
“Oleh itu, bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan kecemasan klinik terbabit, perkhidmatan itu akan diberikan oleh klinik kesihatan berhampiran dan juga Hospital Port Dickson,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam kejadian itu, ketiga-tiga orang petugas kesihatan, iaitu seorang pegawai perubatan dan dua orang penolong pegawai perubatan menghantar seorang pesakit yang juga rakan sekerja mereka ke Hospital Port Dickson kerana mengadu sakit dada dan rebah kira-kira pukul 8.30 pagi.
Harlina berkata, pesakit tersebut disyaki mendapat serangan jantung dan berada dalam keadaan kritikal ketika kejadian.
Bagaimanapun, apabila tiba di Hospital Port Dickson semua mereka berada dalam keadaan tidak sedarkan diri manakala bantuan dan rawatan segera diberikan kepada semua mangsa.
“Semua petugas kesihatan yang terlibat kini berada dalam keadaan stabil dan masih dirawat di Hospital Port Dickson. Bagaimanapun, pesakit yang dihantar telah meninggal dunia dan pihak jabatan sedang menunggu laporan post-mortem bagi mengenal pasti punca kematian,” katanya
Terdahulu, seorang petugas KK Bukit Pelanduk meninggal dunia manakala tiga lagi tidak sedarkan diri selepas dipercayai terhidu gas karbon monoksida yang tinggi dalam ambulans dinaiki mereka.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram