
Beginilah keadaannya bila angin mengemas datang, tapi anak-anak ada di rumah. Cuma aksi comel terlampau yang dipaparkan di akaun Twitter milik @buitengebieden_ ini tidak membabitkan anak kecil sebaliknya empat ekor anak panda yang nakal.
Bila sebut saja panda, automatik semuanya akan kedengaran comel dan menawan, walaupun penjaganya kelihatan seperti berperang hanya untuk membersihkan kandang mereka.
Gelagat penjaga panda yang bergelut untuk membersihkan kandang tersebut akibat diganggu si kecil pasti menggeletek hati sesiapa saja yang melihatnya.
Hendak masuk ke kandang pun sudah jadi satu cerita. Belum lagi bab menyapu dan mengumpulkan daun.
Selesai menyapu di sudut sana, si gebu rupanya sibuk bekerjasama menyepahkan daun yang sudah siap dikumpulkan di sudut lain, malah mereka bukan main seronok bergelumang dalam bakul rotan yang digunakan untuk mengumpul daun-daun kering.
Walau tugas penjaga panda itu kelihatan memenatkan, dia sesekali tergelak dan tersenyum sambil memujuk si kecil untuk lebih bertenang dan tidak mengganggu kerjanya. Walaupun dia tahu, si comel memang jenis yang tidak makan saman.
Video yang pernah tular pada 2016 ini, timbul semula dan mengundang hampir 270,000 tontonan selepas seorang pemilik akaun Twitter terkenal memuat naik klip tersebut dengan keterangan menarik, ‘Mengemas ketika anak-anak ada di rumah.”
Perkongsian itu ternyata membawa ribuan senyuman di wajah warganet yang rata-rata menyifatkannya sama seperti berdepan anak-anak di rumah.
“Memang tak jadi kerja sebab saya akan sibuk ketawa terbahak-bahak,” kata @chilehenge2.
“Saya mahu kerja itu, mereka tak perlu bayar, saya sanggup bayar mereka untuk bekerja di sana,” usik @uemuetgercek.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke fmtohsem@freemalaysiatoday.com
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram