
Beliau berkata, walaupun tidak pernah berlaku sebelum ini dalam kancah politik negara apabila DAP menjadi sebahagian daripada kerajaan perpaduan dengan GPS di peringkat persekutuan, parti itu kekal sebagai pembangkang di peringkat negeri.
“Berada dalam kedudukan sedemikian bukan mudah tetapi kami akan terus menyuarakan jika dasar di peringkat persekutuan atau negeri tidak memihak kepada rakyat,” katanya menurut Borneo Post.
Menurutnya, sama ada kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mampu berkhidmat untuk tempoh lima tahun bergantung kepada tiga faktor utama.
“Ia melibatkan prestasi 100 hari kerajaan perpaduan, keputusan pemilihan Umno, dan pilihan raya enam negeri tahun ini,” katanya.
Chong berkata, pentadbiran Anwar sudah melakukan beberapa pembaharuan setakat ini dan beliau yakin pemimpin kerajaan pada masa akan datang mampu mengelak daripada terlibat rasuah.
Ahli Parlimen Stampin itu menerima kecaman daripada pemimpin GPS baru-baru ini selepas menggelar gabungan berkenaan sebagai “oportunis” apabila memutuskan menyokong Anwar sebagai perdana menteri.
Ucapan itu dibuat ketika membahaskan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, dan beliau juga mendakwa GPS gagal memperjuangkan hak negeri.
Rodiyah Sapiee (GPS-Batang Sadong) berkata, beliau kecewa dengan kenyataan Chong dan menggesanya memohon maaf kepada semua rakyat Sarawak, pengerusi GPS serta semua Ahli Parlimen GPS.
Seorang lagi Ahli Parlimen GPS, Shafizan Kepli memberitahu Chong supaya tidak “menggoncang bot” ketika membandingkan kerajaan persekutuan dengan sebuah bot diketuai oleh Anwar, GPS dan gabungan lain semuanya mendayung untuk memastikan ia “mencapai garisan penamat”.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram