
Oleh Lauren Ashley
Walaupun Easter merupakan hari paling penting dalam kalender upacara keagamaan Kristian, orang ramai sering mengaitkan agama itu dengan Krismas. Walaupun Krismas masih merupakan hari penting yang merayakan kelahiran Jesus Christ, namun Ahad Easter sebenarnya hari utama dalam kepercayaan Kristian.
Malah, dari beberapa sudut, ia sama penting kepada penganut Kristian sebagaimana Aidilfitri penting dalam Islam. Berikut beberapa persamaan antara Aidilfitri dan Easter:
Penamat tempoh berpuasa
Easter tiba pada penghujung Lent, tempoh yang ditandai oleh 3 rukun, iaitu sembahyang, pengorbanan dan berpuasa. Bagaimanapun berbeza dengan Aidilfitri, yang merupakan perayaan pada penghujung bulan puasa, 40 hari tempoh Lent itu adalah bagi menyambut kedatangan Easter.
Selain amalan tradisi berpuasa daripada makanan, ramai juga yang memilih untuk berpuasa daripada sifat buruk tertentu seperti perasaan iri hati. Menahan diri daripada godaan sedemikian adalah pengajaran tentang kesabaran, dan membantu kita lebih peka dan prihatin terhadap orang miskin.
Pope Francis sendiri berkata, “tidak ada perbuatan baik yang boleh dianggap agung jika tidak diikuti dengan manfaat kepada orang lain. Jadi, biar sebanyak mana pun masa anda habiskan untuk berpuasa, sekerap mana anda tidur di lantai yang keras atau memakan abu dan mengeluh berkali-kali, jika anda tidak berbuat baik kepada orang lain, maka anda tidaklah melakukan perkara yang hebat.”
Sembahyang
Seperti Aidilfitri, penganut Kristian turut sembahyang di hari besar ini. Ia hari kesyukuran atas pengorbanan Jesus Christ, hari yang merayakan bahawa baginda masih hidup.
Easter adalah sebab penganut Kristian pergi ke gereja pada hari Ahad, dengan kepercayaan bahawa Tuhan mengatasi kematian untuk membuka jalan mereka ke syurga.
Upacara Easter, yang berlangsung pada malam Ahad Easter, merupakan upacara misa (mass) yang paling panjang dalam gereja Katolik.
Ia mungkin berlanjutan melebihi 3 jam, iaitu lebih kurang 3 kali lebih panjang daripada misa mingguan pada hari Ahad biasa.
Mazhab lain juga mengadakan acara yang serupa, dan banyak yang mengadakannya dengan tumpuan kepada keluarga merayakannya bersama-sama. Acara pembaptisan juga secara tradisi diadakan pada Easter, dan ia merupakan perayaan yang meraikan umat Kristian yang semakin membesar.
Makan-makan dan pakaian baru
Memandangkan ia acara yang berlangsung selepas berakhirnya amalan berpuasa, jelas perayaan ini bermula dengan jamuan makan. Sementara Aidilfitri di Malaysia mungkin dirayakan selama sebulan, musim Easter pula berlangsung selama 50 hari dan ditandai oleh jamuan Pentecost (secara tradisinya merupakan perayaan penganut agama Yahudi), apabila Roh Kudus (Holy Spirit) dikatakan bersama pengikut Jesus Christ.
Biri-biri panggang, yang merupakan makanan utama sewaktu acara Passover agama Yahudi, adalah masakan daging tradisi pada hari Easter. Ia mewakili Jesus Christ yang dibunuh, dan darahnya menyelamatkan kita semasa kematian.
Telur Easter juga kelaziman semasa jamuan ini, dan mewakili kehidupan baru. Kulit telur Easter simbol bagi kuburan Jesus, sementara memecahkan kulit itu pula merupakan simbol kebangkitan semula dan kemunculannya dari kuburan tersebut.
Telur adalah penting dalam jamuan Easter. Di beberapa tempat di dunia, ada yang membuat telur dadar gergasi menggunakan 7,500 biji telur. Namun rakyat Malaysia beragama Kristian lebih menggemari telur yang direbus dan dicat kulitnya dengan pelbagai warna dan corak.
Seperti Hari Raya, penganut Kristian merayakan Easter dengan pakaian baru yang biasanya berwarna terang. Pakaian baru merupakan simbol kehidupan baru dan dianugerahkan melalui pengorbanan Jesus Christ.
Ramai yang menderma pakaian kepada yang kurang bernasib baik supaya semuanya dapat berpakaian baru. Dikatakan seseorang yang mampu membeli pakaian baru tetapi tidak berbuat demikian akan ditimpa nasib malang.
Jadi perayaan penganut Islam tidaklah terlalu berbeza daripada perayaan orang Kristian seperti anggapan ramai orang.
Pada hari Easter kali ini, bagaimana jika anda ucapkan ucapan yang baik kepada kawan-kawan. Mungkin anda akan menggembirakan mereka.
Lauren Ashley adalah pelatih di FMT.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.