HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Amri Che Mat, darah yang direguk

-

Satu hal yang mungkin kita patut pertimbangkan juga adalah kehilangan dan peregukan darah Amri ada kaitan Wahhabisme, negeri Wahhabi, agamawan Wahhabi, doktrin dan ajaran takfiri Muhamad Abdul Wahab.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today

Pada 24 Nov 2016, Amri Che Mat, pengasas bersama sebuah persatuan kebajikan dengan nama Perlis Hope, keluar dari rumahnya untuk menemui seorang sahabat. Saksi ternampak 5 kenderaan menghalang laluan kereta Amri, kira-kira 550m dari rumah mereka di Bukit Chabang, Perlis, sebelum beliau dibawa pergi.

Kes Amri, bersama kes melibatkan Pastor Raymond Koh (diculik semasa memandu oleh sekumpulan lelaki bertopeng di Jalan SS4B/10, kurang 100m dari Kompleks Perumahan Polis di Kelana Jaya pada 13 Feb 2017) adalah 2 kes yang disimpulkan sebagai kehilangan paksa oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dalam satu inkuiri panjang bermula Oktober 2017.

Saya pernah bertanya di kolum ini, “Kehilangan paksa Amri dan Koh, siapa ‘makan darah’?”

Siapa? Siapakah pemakan darah mereka?

Dua kes ini amat bersejarah dalam negara kita. Ia kes peregukan darah warganegara dengan cara paling nista. Ia kes peregukan darah yang sangat tragis dan menakutkan.

Setiap warga Malaysia perlu mengenang 2 kes ini. Saya ulang; setiap kita perlu mempertanyakan. Ia telah berlaku, boleh berlaku dan siapa tahu akan berlaku sekali lagi. Setiap daripada kita terdedah untuk direguk darahnya secara semberono. Tiada siapa terkecuali.

Negara ini boleh menjadi Argentina, boleh menjadi Pakistan, dan boleh menjadi China; di mana kita – warga yang aman – boleh hilang tanpa jejak, dan ia dilakukan oleh negara itu sendiri.

Sudah tentu kita amat terkejut apabila Suhakam membuat kesimpulan bahawa polis Cawangan Khas bertanggungjawab terhadap kehilangan secara paksa membabitkan kedua-dua aktivis sosial ini, Amri dan Koh.

Pesuruhjaya Suhakam ketika itu, Mah Weng Kwai, merumuskan panel yakin terdapat individu atau kumpulan yang beroperasi dengan sokongan ejen negara telah terbabit dalam penculikan itu.

Minggu ini, kehilangan Amri sudah memasuki tahun ketiga. Dan Amri belum ditemui. Kita hanya dapat membayangkan yang buruk-buruk. Yang darah.

Ogos lalu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mior Faridalathrash Wahid, mengumumkan polis mencari individu bernama Saiful Bahari Abdul Aziz yang dipercayai mempunyai maklumat kehilangan mereka.

Ini ekoran panel Suhakam yang menyiasat kes kehilangan Amri mendakwa polis melakukan “usaha untuk mengaburkan” dan ia berkait dengan Saiful Bahari yang juga bekas pekerja kontrak Cawangan Khas.

Akan tetapi, dengan akal waras, tanpa watak bernama Saiful Bahri ini, kita akan tertanya-tanya mengapa pihak yang wajar melindungi warganegara akan bertindak sebaliknya? Apakah motivasi di sebalik penculikan atau kehilangan paksa ini? Sekali lagi, siapakah pemakan darah Amri?

Kita tidak patut berhenti mencari siapa yang bertanggungjawab, tetapi kita juga perlu menebak dan melakukan hipotesis, apa yang membuatkan mereka diculik.

Untuk Amri, salah satu hipotesis paling hampir dan boleh diyakini, yang menjadi sebab darah Amri direguk dan beliau dikorbankan; adalah sektarianisme.

Berdasarkan itu, kita akan dapat membuat satu hipotesis lain; siapa yang bertanggungjawab, atau siapa yang terlibat. Yakni, tangan siapa yang berlumuran darah.

Sepanjang inkuiri Suhakam, berkali-kali dibangkitkan soal sama ada Amri adalah seorang pengikut Syiah. Malahan, dalam tempoh itu, terdapat usaha agamawan tertentu memalitkan Amri dengan keganasan dilakukan secara sistematik.

Sebagai contoh, Amri didakwa (tanpa bukti dan memang lucu) ingin menubuhkan negeri mullah ala Syiah di Perlis. Akan tetapi seperti yang kita semua tahu, bukan Amri yang mereguk darah; tetapi (mungkin) darah Amri yang direguk. Yakni sudahnya; bukan Amri yang mengganasi Perlis, tetapi kelihatannya ada elemen di Perlis yang mengganasi Amri.

Baca perenggan di atas sekali lagi; Amri mangsa, Amri bukan pemangsa.

Jika kita memegang kenyataan bekas ketua polis negara, Khalid Abu Bakar yang mengakui di dalam inkuiri Suhakam, beliau pernah mengarahkan pasukannya membantu pihak berkuasa agama dalam menguatkuasakan fatwa terhadap pengikut Syiah dan kegiatannya; kita akan menemui satu hipotesis penting: Amri hilang kerana sektarianisme. Atau baca, Amri dimangsai fatwa.

Khalid ketika disoal panel Suhakam yang menyiasat kehilangan Amri mengatakan “masalah Syiah ini sebenarnya bukan masalah PDRM, tetapi kita ada persefahaman dengan jabatan agama Islam, dalam hal-hal kesalahan di bawah akta syariah negeri-negeri, kita akan membantu jabatan agama Islam”.

Apatah lagi bekas ketua penolong pengarah Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial Bukit Aman, Awaludin Jadid juga “pernah mendedahkan unitnya telah mengawasi Amri sebelum kehilangannya dan melihat NGO Perlis Hope yang diasaskan bersama oleh Amri itu sebagai satu bentuk aktiviti penyebaran fahaman penganut Syiah”.

Mungkin kita mencari orang yang salah. Misalnya Saiful Bahari mungkin ada maklumat siapakah yang menghilang paksa Amri, tetapi yang harus ditanyakan dengan waras adalah siapakah pula di belakang penculik Amri? Atau jika Suhakam benar yang terbabit adalah elemen di dalam polis itu sendiri, kita akan bertanya dengan jujur, siapakah yang mendorong polis?

Ini kerana, secara waras kita semua tahu polis bekerja untuk melindungi kita, bukan mengganasi kita?

Maka, jika itu betul berlaku, siapakah yang memotivasikan polis? Atau lebih tepat; agamawan, ustaz, lebai atau mufti mana yang mendorong polis (jika memang polis) melakukan kehilangan ini? Tambah pula terdapat kenyataan polos daripada Khalid seperti disentuh di atas.

Yang mereguk darah Amri ialah mereka di sebalik fatwa terhadap pengikut Syiah. Ia adalah produk sektarianisme. Amri adalah bibit mangsa kepada sektarianisme.

Apakah itu sektarianisme? Elok kita merujuk pengalaman yang dilalui Ireland dan Scotland yang juga menempuh sektarianisme, yang bermakna, ia tidak semestinya berlaku dalam dunia Islam yang penuh kompleksiti mazhab Sunni-Syiah saja.

Ini kerana, ia turut berlaku dalam dunia Kristian: “Within the Criminal Justice (Scotland) Act 2003, sectarian hate crimes are defined as ‘offences aggravated by religious prejudice’, although the definition of the term ‘religious’ has been made rather broad since Section 74 (7) of the Act defines a ‘religious group’ as a group of persons defined by reference to their: religious belief or lack of religious belief; membership of or adherence to a church or religious organisation; support for the culture and traditions of a church or religious organisation; participation in activities associated with such a culture or such traditions.”

Sektarianisme adalah jenayah kebencian berasaskan agama, satu prejudis agama bahawa kita saja yang benar; dilakukan terhadap sehimpunan pengikut mazhab tertentu, dan biasanya dilakukan negara dengan mekanisme undang-undang.

Dalam kes pengikut Syiah dan Ahmadiah di Malaysia, terdapat fatwa pengharaman Syiah dan Ahmadiah yang digazet dan menjadi undang-undang untuk menafikan kebebasan beragama pengikut mazhab Syiah dan Ahmadiah ini.

Bukan itu saja, fatwa ini menghalalkan pemomokan terhadap mereka. Dan tidak ada pula mekanisme undang-undang untuk mengawal kalau-kalau pemomokan itu menjadi kebencian meluap sehingga membolehkan darah minoriti seperti Syiah dan Ahmadiah direguk.

Oleh sebab tiada instrumen mengawal, maka mereka yang melakukan gejala kemazhaban ini berasa seronok, bebas, mua, melakukan sewenang-wenangnya dan tidak mustahil memperalatkan ejen negara seperti pasukan keselamatan untuk melakukan peregukan darah bagi pihak mereka.

Di sesetengah negara Timur Tengah yang tidak mengamalkan demokrasi, sektarianisme menjadi alat untuk menekan warganegara dan menafikan hak asasi mereka.

Mudah untuk memomokkan orang yang berbeza daripada kita, yang kelihatan seperti “Adam’s Family” untuk dikaitkan dengan katakanlah “kesesatan”, “keganasan” dan entah apa-apa lagi. Padahal seperti dalam kes Amri, golongan minoriti inilah yang nampaknya menjadi mangsa.

Nader Hashemi dalam “Toward a Political Theory of Sectarianism in the Middle East: The Salience of Authoritarianism over Theology” menyatakan, “authoritarian states in the Muslim world have several distinguishing features which influence sectarian relations. They suffer from a crisis of legitimacy and as a result, they closely monitor and attempt to control civil society by limiting access to information and the freedom of association of their citizens”.

Yakni, hanya negara autoritarian saja akan menggunakan sektarianisme.

Sektarianisme misalnya, dikaitkan strategi pemerintah Wahhabi berdepan minoriti Syiah. Dalam hal ini pemerintah Arab Saudi yang bermazhab Wahhabi menggunakan strategi pemomokan terhadap Syiah (justeru dinamakan sektarianisme) demi melindungi kepentingan Bani Saud mereka. Untuk itu hak asasi minoriti dinafikan.

Sektarianisme ini digunakan dengan pelbagai strategi, termasuk berbentuk kekerasan. Dalam hal ini, Nader memetik tulisan pengkaji Arab Saudi yang tersohor, Madawi al-Rasheed: “In writing about the House of Saud’s reaction to the Arab Spring, Madawi Al-Rasheed observes that ‘sectarianism became a Saudi pre-emptive counter-revolutionary strategy that exaggerates religious difference and hatred and prevents the development of national non-sectarian politics. Through religious discourse and practices, sectarianism in the Saudi context involves not only politicizing religious differences, but also creating a rift between the majority Sunnis and the Shi’a minority’.

“This was made easier when only Shi’as in the Eastern province come out to demonstrate during the Arab Spring, while similar protests in the rest of Saudi Arabia failed to materialize.

“The specter of an Iranian Shi’a/Savafid threat was invoked and the usual Wahabi court ulema were given air time to issue fatwas against public demonstrations and to warn people of the wrath of God that will fall upon those who defied their rulers.

“The security forces were then brought in as backup to restore order via the usual tactics of repression that are common in non-democratic regimes.”

Jika kita menjejaki kerja-kerja akademik mengenai hubungan sektarianisme secara ganas dengan Wahhabi, kita akan menemui banyak kes rujukan baik di Saudi, Bahrain atau Pakistan.

Satu hal yang mungkin kita patut pertimbangkan juga adalah kehilangan dan peregukan darah Amri ada kaitan Wahhabisme, negeri Wahhabi, agamawan Wahhabi, doktrin dan ajaran takfiri Muhamad Abdul Wahab.

Ada kemungkinan, yang harus dicari bukan Saiful Bahari yang dipercayai mempunyai maklumat kehilangan Amri. Kemungkinan paling menjolok mata ialah motivator kehilangan Amri, yang benar-benar mempunyai sebab untuk mereguk darah Amri adalah elemen yang paling dekat dengan Amri di Perlis itu sendiri.

Entiti itu masih bebas, dan masih bermaharajalela dan senang sekali kerana mereka tidak pun dicari. Entiti ini berlindung di sebalik sektarianisme. Dan mereka berasa selamat kerana sektarianisme itu dihalalkan oleh fatwa. Bahkan fatwa sudah menjadi undang-undang.

Semangkuk darah yang direguk akan menuntut setempayan darah lain. Pihak berwajib boleh membetulkan keadaan ini sekarang, dan tidak perlu menunggu ulang tahun keempat kehilangan Amri tahun depan.

Rahmatan lil alamin tajaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa bukan Rahmatan lil alamin ala Riyadh tentunya. Ia juga bukan Rahmatan lil alamin ala Takfiri Deobandi.

Cari dan bertindak sekarang. Kata kunci adalah sektarianisme. Siapa yang paling memainkan sektarianisme ini?

Di situlah ada kejahatan. Di situ ada penculik Amri. Di sana ada pereguk darahnya.

Oii, makanya tunggu apa lagi?

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.