
“Saya satu-satunya yang ada (untuk membantu Harimau Malaya maju ke tahap lebih tinggi),” kata Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim di platform X pada 21 Dis lepas.
Mungkin angkuh bunyinya kepada sesetengah orang, namun pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) itu membuat kenyataan berkenaan sebagai menjawab persoalan terhadap keupayaannya menjadi penyelamat kepada Harimau Malaya.
Untuk sesuatu rancangan besar seperti diilhamkannya berjaya, ia menuntut kepercayaan ramai terhadap langkah-langkah yang akan diambil, apatah lagi jika ia membabitkan ikhtiar mengubah wajah pasukan dengan membawa masuk pemain-pemain warisan dari luar negara.
Enggan membenarkan usahanya memperkasakan Harimau Malaya dipolemikkan, Tunku Ismail menegaskan baginda satu-satunya yang ada untuk mengambil inisiatif berkenaan jika ia difikirkan secara rasional dan berdasarkan fakta.
“Yang lain setakat bercakap, tak sanggup beri sokongan kewangan dan kenalan mereka pun tak seberapa. Saya ada infra, Alhamdulillah rezeki, dan ‘contact’ dengan dunia bola sepak secara global dan berjaya. Hanya saya yang anda semua ada buat masa ini. So, suka tak suka, minta maaf,” tambahnya.
Barangkali apa yang menimbulkan kemusykilan ialah keabsahan baginda untuk menggerakkan rancangan besar buat Harimau Malaya tanpa keanggotaannya dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), badan yang bertanggungjawab terhadap pasukan kebangsaan.
Namun, seperti diperjelaskan oleh Tunku Ismail, peranan baginda dalam revolusi Harimau Malaya adalah selepas diminta membantu kerajaan, Kementerian Belia dan Sukan dan FAM sendiri untuk menambah baik pasukan kebangsaan.
“Saya hanya diminta bantu kerajaan Malaysia, KBS, FAM dan bekerja dengan pasukan saya sendiri untuk membantu pasukan kebangsaan dalam struktur, kemudahan latihan, teknologi, memberikan pendedahan serta hubungan dengan organisasi bola sepak berjaya yang saya kenali,” katanya di laman X, juga pada 21 Dis.
Di samping itu, timbul kesangsian bagaimanakah wajah Harimau Malaya kelak dengan ramai membayangkan kesebelasannya dianggotai pemain-pemain berpangkalan di Eropah yang dikhuatiri cetek semangat Malaysia mereka.
Dalam pada itu, Kejohanan Bolasepak Asean merebut Piala Mitsubishi Electric (Amec ’24) baru-baru ini mendedahkan semakin banyak pasukan yang mengambil pendekatan serupa yang memungkinkan Malaysia terus ketinggalan jika mengabaikannya.
Dari segi fakta juga, tidak pernah ada suatu rancangan sebesar yang dibayangkan TMJ pada masa lalu melainkan hanya langkah secara ‘ad hoc’ atau mengikut keperluan pada satu-satu masa. Daripada tiada langsung perancangan besar, lebih baik ada sesuatu daripada tiada langsung.
Untuk rekod, FAM sebelumnya melancarkan Peta Hala Tuju F:30 pada 2019 untuk mencapai sasaran mendominasi Asean dari segi urus tadbir, pertandingan dan pembangunan. Fasa kedua F:30 bagi 2023-2026 dilancarkan pada 11 Nov 2023.
Suka atau tidak, Harimau Malaya masih jauh daripada apa yang disasarkan. Kecuali muncul juara Kejohanan Asean sekali pada edisi 2010, Malaysia tampil naib juara pada 1996, 2014 dan 2018, dua kali di tempat ketiga (2000, 2004), tempat keempat pada 2002 selain mara ke separuh akhir edisi 2007, 2012 dan 2022. Penyertaan dalam edisi selebihnya (1998, 2008, 2016 dan 2020) berakhir pada peringkat kumpulan.
Kegagalan terbaru pada 20 Dis lepas ialah kali kelima Harimau Malaya gagal melepasi halangan awal yang mungkin boleh dipersalahkan kepada FAM yang tidak menjadikan penyertaan kali ini – malah mungkin sejak satu dekad lalu — sebagai suatu keutamaan.
Presiden FAM Hamidin Mohd Amin menegaskan di sebalik beberapa kegagalan khususnya membabitkan pasukan kebangsaan, banyak peningkatan ditunjukkan daripada segala aspek dalam peta hala tuju terbabit.
Tanpa memperkecilkan F:30, perancangan Tunku Ismail dalam revolusi besar Harimau Malaya adalah berbeza menerusi struktur pentadbiran lebih profesional, termasuk mengatur pertemuan dengan wakil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) dalam usaha mengenal pasti pemain luar negara yang berpotensi mewakili Harimau Malaya.
Tiga perkara penting yang diumumkan baginda sebelum ini merangkumi pelantikan jurulatih baharu, ketua pegawai eksekutif (CEO), pengarah teknikal serta pengarah prestasi tinggi yang akan mengetuai bahagian kecergasan dan perubatan Harimau Malaya. Ketiga-tiga jawatan berkenaan akan diumumkan dalam masa terdekat.
Pasukan perubatan – yang akan diketuai seorang yang berpengalaman luas bersama pasukan Piala Dunia – dikhabarkan akan mula menggunakan teknologi terkini untuk memastikan pemain Harimau Malaya sentiasa mendapat perkhidmatan dan rawatan perubatan terbaik.
Esok bermulalah tugas Peter Cklamovski dari Australia yang dilantik sebagai ketua jurulatih kebangsaan manakala Nafuzi Zain pula sebagai ketua jurulatih skuad B-23 kebangsaan seperti diumumkan FAM dalam kenyataan pada 16 Dis lepas dengan sasaran awal untuk layak ke Piala Asia 2027.
Tetapi sekadar menamakan kedua-dua jurulatih bukanlah menepati satu revolusi – diistilahkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai membawa perubahan kepada sesuatu atau dalam sesuatu bidang secara radikal atau meluas, menyeluruh, dan cepat.
Dalam merealisasikan revolusi berkenaan, Tunku Ismail dan pasukannya sudah menjelajah ke Eropah, termasuk mengadakan pertemuan dengan Presiden Fifa Gianni Infantino, pada 17 Dis.
“Infantino turut menzahirkan kepercayaan inisiatif nasional tersebut yang dikemudi Pemangku Sultan Johor dan bersetuju untuk memberikan sokongan kepada Malaysia dari segi penyelidikan, infrastruktur dan pembangunan,” kata kenyataan pasukan TMJ.
Setakat ini, tiga pemain yang disasar untuk diserapkan dalam Harimau Malaya – kapten Burnley FC Josh Brownhill; pemain Newcastle United Isaac Hayden; dan pemain muda Belanda, Iggy Houben – menolak mempunyai pertalian darah dengan Malaysia.
Ini bermakna pencarian perlu diteruskan sekalipun mungkin memakan masa di samping usaha mengenal pasti pemain warisan yang berpotensi mungkin menyulitkan.
Daripada Harimau Malaysia terus berada pada takuk lama, rancangan besar TMJ perlu diberi kepercayaan dan sokongan untuk mengimpikan peningkatan ke kelompok 100 teratas dunia.
Dan alang-alang Tunku Ismail mahu merealisasikan revolusinya, alangkah baiknya jika baginda Kembali selaku presiden FAM apabila penggal baru bermula pada 15 Feb depan untuk memastikan perancangannya berjalan seperti diatur.
FAM sendiri dengan kuasa mengundi di tangan perwakilannya nanti tidak akan menolak bahawa TMJ adalah satu-satunya yang mereka ada.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram