Mahkamah tolak reman ketua polis daerah

Mahkamah tolak reman ketua polis daerah

Majistret menerima hujahan peguam yang mengguna pakai keputusan Mahkamah Tinggi bahawa SPRM mempunyai akta sendiri untuk permohonan reman.

Pegawai kanan polis berusia 53 tahun dibawa ke Mahkamah Majistret Kuantan untuk mendapatkan perintah reman berkait dakwaan rasuah. (Gambar Bernama)
KUANTAN:
Mahkamah Majistret menolak permohonan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap seorang ketua polis daerah bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menerima rasuah.

Pada prosiding itu, Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman menolak permohonan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Rifah Izzati Abdul Mutalif mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ).

Peguam Bob S Arumugam semasa ditemui berkata, majistret membuat keputusan itu selepas menerima hujahan beliau yang mengguna pakai keputusan Mahkamah Tinggi bahawa SPRM mempunyai akta sendiri dalam mengemukakan permohonan reman.

Keputusan Mahkamah Tinggi Temerloh pada 19 Mei lalu menyatakan Seksyen 49 Akta SPRM adalah undang-undang yang memberi kuasa khusus kepada suruhanjaya itu termasuk dalam situasi penyiasatan tidak dapat diselesaikan dalam tempoh 24 jam.

Terdahulu, pegawai kanan polis berusia 53 tahun itu tiba di mahkamah kira-kira 8.58 pagi dengan memakai baju lokap SPRM serta diiringi petugas suruhanjaya berkenaan.

Semalam, media melaporkan penahanan pegawai kanan polis itu selepas hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Pahang, berhubung dakwaan menerima rasuah dianggarkan bernilai lebih RM1 juta yang dikatakan berlaku sejak 2017 hingga 2022.

Suapan itu didakwa bagi melindungi pusat hiburan daripada tindakan penguatkuasaan yang boleh mengganggu perniagaan mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.