HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Agong, DJ Dave dan lagu perpaduan

-

Yang di-Pertuan Agong mahu sebuah lagu untuk menyatukan rakyat dan penyanyi veteran itu menyampaikan melodi tidak dapat dilupakan.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berbincang dengan DJ Dave (kanan) di Istana Negara. (Gambar DJ Dave)

KUALA LUMPUR:
Beberapa bulan sebelum Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah membentuk kerajaan perpaduan dan melantik perdana menteri, baginda mempunyai idea untuk lagu perpaduan.

Ogos tahun lalu, Agong meminta penyanyi dan penulis lagu veteran, DJ Dave menggubah lagu patriotik seperti lagu klasik berusia 36 tahun “Setia” yang mendapat sambutan seperti lagu kebangsaan kedua.

Dave berkata, dia diminta menggubah lagu yang menggalakkan rakyat mengetepikan ketidaksamaan dan menerima satu sama lain.

Katanya, Agong menegaskan kesetiaan mewujudkan perpaduan dan ia hanya akan berlaku jika kita bangkit bersama.

“Tuanku mahu lagu itu dinyanyikan dalam bahasa Melayu terlebih dahulu, disusuli penyanyi yang mewakili setiap kumpulan etnik utama menyanyi dalam dialek mereka sendiri.”

Dave berkata, permintaan Agong untuk menghasilkan lagu mengenai keharmonian dan kestabilan dibuat lama sebelum kerajaan perpaduan ditubuhkan, dan menandakan permulaan menghasilkan “Setia Perpaduan”.

“Setia Perpaduan” kemudian menjadi lagu tema sambutan minggu perpaduan negara, yang dilancarkan Sultan Abdullah di Kuching bulan lalu.

Ia digubah Dave, dengan lirik ditulis Sasterawan Negara, Prof Lim Swee Tin dan susunan muzik oleh S Atan.

Lagu itu menampilkan 13 artis pelbagai kumpulan etnik, sebahagiannya menyanyikan sebaris lirik dalam bahasa mereka sendiri.

Free Malaysia Today
Artis pelbagai kumpulan etnik menyanyikan sebaris lirik ‘Setia Perpaduan’ dalam bahasa mereka sendiri. (Gambar DJ Dave)

Mereka terdiri daripada Dave, Awie (Melayu), Jaclyn Victor (India), Marsha (Dusun Sabah), Sabhi Saddi (Bajau Sabah), Suki Low (Cina), Cikgu Asani (Orang Asli), As’Ad Motawh (Melayu), Sissy Imann (Melayu), Iesya Toh (keturunan campuran), Bob (Bisaya Sarawak), Melissa Francis (Iban Sarawak), Hacharan Singh (Punjabi).

Dave berkata “Setia Perpaduan” mempunyai kesan transformatif ke atas semua lapisan rakyat kerana instrumen etnik dari seluruh negara digabungkan dalam muzik.

Ia termasuk alat muzik kayu dikenali sebagai oboe dari Kelantan, alat muzik bertali dipanggil sape dari Sarawak, seruling terkenal dari Sabah, tabla, kompang dan bhangra dhol.

Dave berkata, dia menggubah lagu itu dengan Atan menggunakan piano, sebelum menghantar melodinya kepada tiga penulis lirik, di mana Lim mengemukakan tiga versi dalam tempoh dua hari.

“Tuanku memilih lirik yang menyampaikan mesej perbezaan tidak memisahkan kita, bahkan menggantikan beberapa perkataan dirasakan baginda lebih mudah untuk dinyanyikan rakyat dan sedap didengar.”

Free Malaysia Today
DJ Dave (tengah) dan 12 penyanyi lain mempersembahkan ‘Setia Perpaduan’ pada minggu perpaduan negara di Kuching bulan lalu. (Gambar DJ Dave)

Dave, 75, berkata dia menggunakan motivasi Sultan Abdullah ketika empat kali menghadap baginda dan pengalaman profesionalnya selama 51 tahun untuk menyelesaikan tugas itu dalam tempoh kira-kira empat bulan.

“Artis teruja untuk menyanyikan lagu itu dan saya berterima kasih atas sumbangan mereka, yang sebenarnya adalah khidmat kepada negara.

“Kami semua berbesar hati apabila Tuanku memberikan lampu hijau untuk lagu dan video itu, serta mahu artis membuat persembahan pada pelancaran minggu perpaduan negara.”

Beliau berharap “Setia Perpaduan” akan mendapat lebih banyak masa siaran dan dipromosikan secara meluas di semua peringkat masyarakat “kerana ia salah satu idea Agong untuk membantu menyatukan orang ramai dalam masa berpecah-belah ini.”

“Ia juga bagus untuk kanak-kanak belajar bahasa lain dan dengan menyanyikan lagu sedemikian, rakyat pasti akan bersatu.”

Lagu “Setia” pada 1987 sering disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) sehingga ramai yang mempelajari liriknya hanya dengan mendengarnya.

Lirik ringkas ditulis Menteri Penerangan ketika itu, Mohamed Rahmat, mencuri perhatian rakyat Malaysia.

Perpaduan sentiasa penting buat Dave, di mana lagu hit pertamanya, Maafkanlah pada 1972, juga berkisar menyatukan rakyat.

Lagu itu mempunyai rentak Cina, melodi India dan lirik Melayu, serta merupakan sebuah lagu mengembalikan kenangan rakyat Malaysia bersatu dengan kebersamaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.