HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Ambil iktibar bencana sebelum melombong nadir bumi, NGO tegur Kelantan

-

Bekas presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia Ahmad Ismail berkata, kerajaan negeri perlu mengambil iktibar daripada bencana lalu sebelum memulakan projek ‘mengkayakan’ Kelantan.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Persatuan Pencinta Alam Malaysia mahu kerajaan Kelantan menerangkan kaedah perlombongan nadir bumi kepada rakyat, selain tidak menyebabkan bencana serta pencemaran, dan melindungi habitat hidupan liar. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA:
Beberapa persatuan alam sekitar meminta kerajaan Kelantan mengambil iktibar daripada bencana lalu sebelum memulakan perlombongan unsur nadir bumi (REE) yang dicadangkan untuk “mengkayakan” negeri itu.

Bekas presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) Ahmad Ismail berkata kaedah perlombongan mesti diterangkan kepada rakyat, tidak menyebabkan bencana serta pencemaran sungai, dan melindungi habitat hidupan liar.

“Sekiranya melibatkan penebangan hutan, perlu lihat pengalaman lepas apabila berlakunya banjir, tanah runtuh, banjir lumpur, dan kerosakan habitat hidupan liar serta memberi peluang kepada aktiviti pemburuan.

“Keuntungan seketika mungkin boleh menyebabkan kerugian jangka panjang terhadap penduduk tempatan,” katanya kepada FMT.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) Damien Thanam berkata, perlombongan REE akan mencetuskan gangguan khususnya di kawasan berhutan yang kaya dengan flora dan fauna.

“Kawasan rayau akan mengalami gangguan seperti buruan spesies pemangsa, kawasan makanan mangsa serta gangguan kepada pertumbuhan spesies liar mahupun mencetuskan konflik antara haiwan liar dengan manusia.

“Kami tidak dapat menolak pendapat yang perlombongan REE akan digunakan bagi tujuan pengeluaran balak seperti mana perladangan kelapa sawit dan pembinaan Empangan Nenggiri sebagai alasan.

“Malapetaka akibat aktiviti manusia sudah pun mulai meragut nyawa rakyat tetapi isu ini tidak diletakkan sebagai keutamaan dalam keputusan semua pembangunan, perlombongan, pembalakan, dan kuari di dalam hutan,” katanya.

Minggu lalu, Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah berkata negeri itu berpeluang menjadi kaya kerana terdapat banyak REE.

Beliau bagaimanapun berkata pengurusan dan dasar REE bernilai hampir RM125 bilion perlu diperkemaskan untuk memberi banyak kelebihan kepada negeri itu.

November lalu, bekas menteri tenaga dan sumber Asli Takiyuddin Hassan dipetik berkata tiga daerah dikenal pasti mempunyai potensi REE iaitu Tanah Merah, Gua Musang, dan Jeli.

Nilai keluasan nadir bumi bukan radioaktif itu yang paling banyak ditemui di kawasan Aring seluas 100,000 hektar dan kedua di Stong Batu Melintang (80,000 hektar), manakala di Tanah Merah (25,000 hektar).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.