![Free Malaysia Today](/_next/image/?url=https%3A%2F%2Fmedia.freemalaysiatoday.com%2Fwp-content%2Fuploads%2F2023%2F01%2FMuhammad-Yasin-Sulaiman-bernama-110123-1.jpg&w=3840&q=75)
Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zuhaini Mahamad Amin ketika membacakan laporan tersebut berkata tertuduh disahkan tidak waras ketika kejadian.
“Bagaimanapun, keadaan mental tertuduh bertambah baik dan kini layak dihadapkan ke mahkamah untuk dibicarakan serta mampu membela diri,” katanya semasa sebutan kes.
Zuhaini berkata tertuduh juga disahkan menghidap penyakit kecelaruan bipolar dan hipertiroidisme.
“Sehubungan itu, pihak kami mohon tarikh sebutan untuk mendapatkan arahan daripada Jabatan Peguam Negara, mengenai perkembangan kes itu,” katanya.
Peguam Ariff Azami Hussein mewakili Yasin pula berkata laporan psikiatri itu mengesahkan dua perkara mustahak iaitu, Yasin tidak waras ketika kejadian dan layak dibicarakan.
“Kami percaya perbicaraan terhadap tertuduh boleh diteruskan seperti dimaklumkan pendakwaan, bicara secara formal mengikut Bab 33 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) supaya akhirnya satu perintah di bawah Seksyen 347 KTJ iaitu, penghakiman pembebasan atas alasan gangguan mental dapat dikeluarkan,” katanya yang memohon perbicaraan berlangsung secara singkat, iaitu selama dua hari.
Hakim Nik Nasimah Nik Mohammad kemudian menetapkan sebutan kes pada 9 Ogos dan perbicaraan berlangsung selama dua hari pada 28 dan 29 Ogos ini.
Yasin, 48, yang dibawa dari Hospital Bahagia Ulu Kinta hadir dengan memakai t-shirt berwarna hitam.
Pada 8 Mei lalu, mahkamah memerintahkan Yasin dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta untuk pemeriksaan tahap kesihatan mentalnya, selepas membenarkan permohonan pembelaan supaya tertuduh diperiksa oleh pakar psikiatri.
Penyanyi lagu Mimpi Laila itu didakwa memberikan dirinya dadah jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik IPD Petaling Jaya, pada 11.05 malam, 24 Mac tahun lepas.
Dia dituduh mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.
Yasin juga didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram dan menanam 17 pokok ganja dalam pasu plastik berisi tanah di kediamannya di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini, pada 5.30 petang, tarikh yang sama.
Pertuduhan mengikut Seksyen 6 Akta ADB dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan dan Seksyen 6B (1) (a) ADB dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6B (3), yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebat tidak kurang daripada enam sebatan, jika sabit kesalahan.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram