HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

‘Ratu Naga’ saman kerajaan berkait peruntukan Akta Perhimpunan Aman

-

Syarul Ema Rena Abu Samah memohon perintah deklarasi bahawa Seksyen 9(5) akta itu tidak boleh dikuatkuasakan.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
‘Ratu Naga’ sebelum ini disiasat polis atas penglibatannya dalam perhimpunan Selamatkan Malaysia pada 16 Sept lepas.

KUALA LUMPUR:
Aktivis Syarul Ema Rena Abu Samah, atau lebih dikenali sebagai “Ratu Naga”, menyaman kerajaan dalam usaha membatalkan satu peruntukan bawah Akta Perhimpunan Aman (PAA).

Syarul Ema memohon perintah deklarasi bahawa Seksyen 9(5) akta itu, yang memperuntukkan penganjur memaklumkan pihak berkuasa terlebih dahulu mengenai perhimpunan yang dirancang, tidak boleh dikuatkuasakan.

Hal ini kerana peruntukan tersebut telah diisytiharkan sebagai batal dan tidak sah oleh Mahkamah Rayuan dalam keputusan pada 2014, justeru tidak lagi wujud dalam undang-undang.

Beliau juga berkata, saman pemula yang difailkannya di Mahkamah Tinggi di sini bertujuan melindungi dirinya daripada risiko sebarang tindakan lanjut terhadapnya.

Polis sebelum ini menyiasat Syarul Ema, bekas pemimpin wanita PKR, atas penglibatannya dalam perhimpunan Selamatkan Malaysia pada 16 Sept lepas.

Dalam perhimpunan itu, ratusan penunjuk perasaan berarak ke pusat beli-belah Sogo di Kuala Lumpur sebagai tanda protes terhadap pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah, dan pengubahan wang haram berkaitan dengan dana Yayasan Akalbudi.

Seksyen 9(5) akta tersebut menjadi subjek dalam dua kes mahkamah yang dibicarakan oleh Mahkamah Rayuan sejak sembilan tahun lepas. Pada 2014 dan 2015, Mahkamah Rayuan telah mengeluarkan keputusan bercanggah berhubung seksyen tersebut.

Pada 2014, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Seksyen 9(5) melanggar perlembagaan lalu membebaskan Nik Nazmi Nik Ahmad, yang kini menteri sumber asli, alam sekitar dan perubahan iklim.

Nik Nazmi didakwa kerana gagal memberikan notis 10 hari kepada polis bagi Himpunan Blackout yang diadakan pada Mei 2013 di Stadium Kelana Jaya, sejurus selepas PRU13

Setahun kemudian, panel Mahkamah Rayuan dipengerusikan oleh ketua hakim negara ketika itu Raus Sharif mengekalkan Seksyen 9(5) dalam kes terhadap R Yuneswaran, kini Ahli Parlimen Segamat.

Panel ketika itu memutuskan Seksyen 9(5) tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan dan mendenda Yuneswaran RM6,000 kerana menganjurkan perhimpunan Blackout 505 di Johor pada 2013.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.