
Seorang peniaga medan selera di Kuala Lumpur Intan Muhamad mendakwa harga bawang diimport dari republik itu meningkat kepada RM3.90 sekilogram pada bulan ini berbanding RM1.50 sekilogram Ogos lalu.
Beliau yang secara purata membeli 400 kg bawang setiap bulan mengakui merasai kenaikan kos itu dan meminta kerajaan memantau keadaan itu memandangkan mereka tidak banyak pilihan.
“Dahulu harga bawang China ini murah tetapi sekarang naik pula selepas tiada lagi bawang dari India kecuali Pakistan.
“Lagi pun bawang itu cepat rosak, jadi kena cepat guna untuk elak kerugian lebih besar,” katanya kepada FMT sambil mengakui terpaksa menaikkan sedikit harga makanan untuk menampung kenaikan kos operasi.
Sabtu lalu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu berkata kerajaan akan mendapatkan bekalan bawang dari China dan Pakistan susulan keputusan India melarang eksport sayuran itu hingga Mac tahun depan.
Mohamad turut memberi jaminan langkah itu tidak akan menyebabkan perubahan ketara kepada harga runcit bawang.
Sementara itu, peniaga nasi campur di Setapak yang hanya mahu dikenali sebagai Che Ta turut berdepan situasi dialami Intan.
Dakwanya, dia kini terpaksa membayar RM35 untuk membeli seguni bawang dengan jumlah berat lapan kilogram, berbanding RM16 sebelum ini.
Namun beliau yang menggunakan 720 kg bawang sebulan tidak merancang menaikkan harga makanan kerana masih boleh mampu menyerap kos.
“Saya berniaga banyak makanan jadi buat masa ini masih boleh serap lagi harga kerana pelanggan ramai, cuma peniaga kecil lebih terasa,” katanya.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram