Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, Shafee tidak sepatutnya masuk campur urusan Majlis Peguam dan sikap kelam-kabut ditunjukkan Shafee itu ‘aneh’.
“Tapi yang anehnya dia (Shafee) pula nampak kelam-kabut untuk membela Peguam Negara yang telah membuat keputusan untuk membebaskan Najib dari isu wang derma tersebut,” tulisnya di Facebook.
Dalam masa sama, Khairuddin berharap Majlis Peguam dapat memberi sokongan moral kepadanya pada perbicaraan di mahkamah berhubung laporannya kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan 1MDB dan Najib.
Katanya, kes beliau itu berguna kepada Majlis Peguam bagi mencabar keputusan Peguam Negara yang telah membebaskan Perdana Menteri dari sebarang salah laku melibatkan derma RM2.6 bilion dan dana RM42 juta daripada SRC International.
“Saya mempunyai ‘locus standi’ dalam kes ini sejak 12 Disember 2014 apabila membuat laporan polis dan SPRM keatas syarikat 1MDB dan Najib.
“Kerana kes ini jugalah saya telah terpaksa mengharungi pelbagai tekanan yang hebat khususnya ditahan selama 24 hari di dalam lokap Ibu Pejabat Polis Dang Wangi seterusnya ditahan di Penjara Sungai Buloh selama lima minggu.
“Saya amat menaruh harapan yang tinggi agar pihak ‘judiciary’ akan bersikap adil dan telus di dalam menghakimi kes saya melawan Peguam Negara nanti.
“Saya berikrar kepada 30 juta rakyat Malaysia untuk melawan segala bentuk salahlaku ataupun salahguna kuasa oleh mana-mana pihak penjawat awam secara habis-habisan. Kita tidak boleh kompromi sama sekali dengan agenda salah guna kuasa oleh sesiapapun di negara ini,” katanya.
Shafee dilapor mempersoalkan tindakan Majlis Peguam memfailkan semakan kehakiman keputusan Peguam Negara kerana badan itu tidak mempunyai maklumat penuh mengenai kes berkenaan.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram