Menurut laporan Sin Chew Daily, mereka bagaimanapun enggan mendedahkan jumlahnya.
Menurut mereka, wang tebusan itu adalah hasil sumbangan orang ramai.
Dalam sidang media yang diadakan di Sibu pagi ini, keempat-empat mangsa culik itu melutut dan mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang membantu keluarga mereka sepanjang 69 hari mereka ditahan Abu Sayyaf di selatan Filipina.
Laporan sebelum ini memaklumkan jumlah kutipan derma itu mencecah kira-kira RM400,000.
Keempat-empat mangsa culik itu ialah adik-beradik Wong Teck Kang, 31, dan Wong Teck Chii, 29, sepupu mereka, Johnny Lau Jung Hien, 21, dan rakan sekerja mereka, Wong Hung Sing, 34, yang diculik dari sebuah kapal tunda di perairan Pulau Ligitan, berhampiran Semporna pada 1 April lalu.
Mereka dibebaskan Rabu lalu dan hanya tiba di kampung halaman di Sibu pada 8.45 pagi semalam dengan menaiki pesawat dari Kota Kinabalu sambil ditemani bapa Teck Kang dan Teck Chii serta abang Johnny.
Minggu lalu, ipar Johnny dilaporkan sebagai berkata, mereka dalam keadaan tertekan kerana ada ramai orang yang menghubungi mereka untuk mengetahui apa yang sudah berlaku kepada sumbangan orang ramai, selepas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menafikan menyerah wang tebusan untuk membebaskan empat mangsa.
Menurutnya, kebanyakan penderma datang dari Sibu tetapi ada juga rakyat dari negeri lain di seluruh negara, malah dari China dan negara lain turut menyumbang wang kepada mereka.
Laporan media menyatakan wang tebusan yang diminta adalah 300 juta peso (RM30 juta), sebelum dikurangkan kepada 180 juta peso (RM18 juta).
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram