HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Nukilan sebuah beg tangan daripada isteri PM Singapura

-

Beg tangan itu dihadiahkan seorang lelaki yang kematian isterinya selepas membaca mengenai dompet murah yang dibawa Puan Lee ke White House, Ogos lalu.

0
Shares
Total Views: 1
dompet_pm

PETALING JAYA:
Dua bulan selepas dompet beliau yang hanya berharga S$14.80 (RM44.60) menjadi topik perbualan ramai, Ho Ching, isteri kepada perdana menteri Singapura Lee Hsien Loong, menceritakan satu lagi beg tangan yang dibawanya baru-baru ini ketika lawatan rasmi ke Jepun.

Beg tersebut dihadiahkan kepadanya oleh seorang lelaki bernama Masamoto, selepas membaca berita mengenai dompet berukiran dinosaur yang dibawa Puan Lee ketika berjumpa Presiden Barack Obama dan isterinya di White House, awal Ogos lalu.

Beg tangan yang dihadiahkan Masamoto itu merupakan milik arwah isterinya, Yoko, yang meninggal dunia 2 tahun lalu, lapor The Straits Times.

“Beg yang anggun ini / pernah bersama Yoko / berjumpa dengan maharaja Jepun / yang baik dan pengasih,” tulis Puan Lee.

“Bertahun-tahun ia menanti / di dalam sebuah peti kayu / dipenuhi memori indah yang lampau / kehidupan bahagia bersama Masamoto.”

Ogos lalu, gambar Puan Lee yang membawa dompet bernama “Denim Pouch-Dino Blue Black” yang dibelinya di sebuah jualan amal membantu golongan autistik, mengundang pelbagai pujian kerana memilih penampilan sederhana.

Dompet yang dihasilkan See Toh Sheng Jie, 19, anak seorang pemandu teksi, terus menerima sambutan mendadak dengan kesemua stok habis dijual oleh The Art Faculty, sebuah kedai online yang membantu menjual hasil seni pelajar kurang upaya dan autistik di Sekolah Pathlight, Singapura.

Sementara itu, Puan Lee menceritakan beliau tidak pasti sama ada mahu menerima hadiah Masamoto kerana ia terlalu bernilai. Selepas diyakinkan kawannya, beliau membuat keputusan membawanya ke semua acara bersama pasangan diraja Jepun

“Damailah kau di sana, wahai Yoko / Dan semoga sihat, Masamoto,” tulisnya.

“Akan ku simpan hadiah istimewa ini / hadiah persahabatan dan kasih sayang.”

Pautan:

Isteri PM Singapura bawa dompet RM45 ke White House

Semua 200 dompet ‘murah’ isteri PM Singapura habis dijual

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.