
Penasihat strategi kepada ketua menteri, Saifuddin Nasution Ismail berkata Najib sepatutnya lebih maklum mengenai data pelaburan langsung asing ke Pulau Pinang memandangkan jawatannya sebagai menteri kewangan.
Minggu lepas, Najib berkata pelabur asing meninggalkan Pulau Pinang, manakala Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata negerinya destinasi utama pelabur asing.
“Adalah suatu yang memalukan apabila seorang perdana menteri dan merangkap menteri kewangan tidak menilai statistik ini terlebih dahulu sebelum menuduh ekonomi Pulau Pinang teruk di bawah pentadbiran Guan Eng.
“Jika Najib tuduh pelabur luar lari meninggalkan Pulau Pinang, mengapakah ekonomi negeri ini semakin berkembang pesat?” soal Saifuddin dalam kenyataan hari ini.
Setiausaha Agung PKR itu juga menyoal sama ada Najib tahu faktor tarikan pelabur bergantung pada kedudukan ekonomi semasa, insentif pelaburan, potensi pulangan, tata kelola yang baik, bebas rasuah dan kestabilan politik.
Menurut Saifuddin, Pulau Pinang mencatatkan nilai pelaburan masuk yang memberangsangkan pada 2016. Mengikut laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida), 106 pelaburan baru dbawa masuk dengan nilai tambah RM4.29 bilion.
Katanya pelaburan asing membentuk 71% daripada nilai itu, bercanggah dengan dakwaan Najib dalam blog.
“Dengan keluasan yang kecil, prestasi Pulau Pinang lebih mapan dan kompetitif berbanding dengan sebahagian besar negeri yang diperintah Umno-BN seperti Kedah dan Melaka,” katanya.
Beliau berkata sumbangan Pulau Pinang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) juga memberangsangkan.
Menurut beliau, KDNK meningkat daripada 5.5% kepada 6.6% dalam tempoh 2010 hingga 2015.
Saifuddin berkata Pulau Pinang juga menyumbang 12.8% kepada sektor pembuatan negara pada tahun 2015.
“Statistik ini diiktiraf oleh Jabatan Perangkaan Negara yang beroperasi di bawah Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Pada Khamis Najib berkata pemimpin pembangkang selalu memburukkan Malaysia ketika berada di luar negara, tanpa membawa pulang perniagaan yang berpotensi untuk melabur.
Beliau menyifatkan pembangkang sebagai pensabotaj ekonomi kerana mereka menyebabkan pelabur menjauhkan diri dari Malaysia, berbanding dirinya dan para menteri yang ke luar negara dan membawa pulang pelabur.
Beliau menyasarkan Guan Eng, dengan berkata apabila kerajaan persekutuan BN membawa pelabur masuk, ketua menteri pula mendakwa negara dijual kepada orang asing.
“Contohnya, Lim Guan Eng suatu ketika dahulu dengan bangganya telah mengeluarkan kenyataan bahawa Pulau Pinang merupakan destinasi pilihan pelabur asing.
“Hakikatnya hari ini, banyak pelabur asing meninggalkan Pulau Pinang,” kata Najib dalam muatnaik “Fokus Lawatan Kerja Ke Luar Negara” 30 Mac lalu.
“Lim Guan Eng pula telah mengubah rentak bicaranya dan penyokong-penyokongnya menuduh bahawa kita menjual negara apabila banyak pelaburan asing masuk ke Malaysia,” katanya.
Najib berkata menigkut logik Guan Eng, rakyat Malaysia perlu dipersalahkan kereana melabur hampir RM570 juta di luar negara.
“Saya tertanya-tanya negara mana yang telah jual maruah dan kedaulatan mereka kepada Malaysia?” katanya.
Najib berkata pembangkang menuduh kerajaan “jual negara” apabila kerajaan berusaha membawa masuk pelaburan.
Berkenaan perkara itu, Saifuddin berkata “jual negara” digunakan kerana kerajaan terpaksa melaksanakan projek prasarana berkos tinggi untuk membayar hutang syarikat tertentu.
Beliau berkata “jual negara” juga digunakan apabila kerajaan tidak berterus-terang mengenai isu tanah pegangan pajak dan pegangan bebas dalam projek tertentu di Johor.
“Terdapat lebih banyak lagi definisi yang boleh merujuk pada istilah ‘jual negara’, bersabit tindakan-tindakan Najib yang telah memberi imej negara kita semakin hari semakin teruk,” kata Saifuddin.