
Katanya, jawatan perdana menteri tidak pernah terlintas dalam fikiran beliau meskipun Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan mana-mana warganegara boleh menyandang kerusi itu.
Beliau yang kebelakangan ini berhadapan dengan serangan bertubi-tubi Umno berkata, Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah pertempuran antara Pakatan Harapan melawan Barisan Nasional (BN), dan jika Umno hilang kuasa kerajaan persekutuan, perdana menteri bukan kalangan orang Cina, tetapi Melayu.
Malah beliau memberitahu, DAP bukan sebuah parti Cina tetapi parti di Malaysia yang terdiri mereka yang mencintai Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau wilayah.
“Isu isu sebenar dalam PRU14 adalah sama ada rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama atau kawasan boleh menyelamatkan Malaysia.”
Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Plentong, Johor pagi tadi.
Semalam, Ketua Wanita Umno, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil mendakwa Kit Siang akan menjadi perdana menteri jika kedudukan DAP, yang kini mendominasi parti-parti pembangkang di Parlimen, kekal dalam PRU14.
Beliau berkata, memandangkan bilangan kerusi Parlimen DAP yang lebih banyak daripada pembangkang lain, maka semestinya Kit Siang menjadi calon perdana menteri pilihan Pakatan Harapan.
“Jika ini berlaku, barulah orang Melayu sedar pilihan mereka dalam Pilihan Raya Umum ke-14 kelak merupakan pilihan untuk memilih Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri atau Lim Kit Siang,” kata beliau.
Justeru kata beliau, mengambil kira kedudukan DAP yang lebih dominan dalam Pakatan Harapan dari segi bilangan kerusi iaitu 37 berbanding PKR 27, pelantikan Kit Siang, Ketua DAP di Parlimen, sebagai ketua pembangkang amat bertepatan sekali.
Dalam ucapannya itu, kata Kit Siang, perkembangan kebelakangan ini menunjukkan beliau dan pemimpin DAP bukan sasaran Umno yang sebenar, tetapi Pakatan Harapan dijadikan sasaran.
Kata Kit Siang, Umno juga sedar yang gabungan Pakatan Harapan iaitu DAP, PKR, Parti Amanah Negara dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mempunyai peluang baik untuk mengalahkan Umno dan BN pada PRU14.
Sebaliknya kata beliau, pemimpin Umno dan BN mengambil strategi menakut-nakutkan pengundi Melayu kononnya undi Pakatan Harapan bermakna menjadi undi untuk DAP dan undi kaum Cina yang akan menentang orang Melayu.
“Ia satu usaha menyedihkan dan mengejutkan dalam politik pembohongan, kebencian dan ketakutan kerana kepimpinan Umno sedar mereka telah kehilangan sokongan popular orang Melayu.”
Jelas beliau, apabila menubuhkan DAP lebih 5 dekad yang lalu, kepimpinan parti itu tidak pernah terfikir untuk menjadi ahli Dewan Undangan Negeri atau Parlimen, apatah lagi sebagai menteri, timbalan menteri, timbalan perdana menteri ataupun menteri.
“Saya boleh memberi jaminan, apabila sekumpulan rakyat Malaysia membentuk DAP 51 tahun lalu bagi mencapai Impian Malaysia sebagai sebuah negara bagi semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau kawasan, boleh berasa bangga dengan bumi Malaysia, kita tidak pernah terfikir untuk menjadi ahli Dewan Undangan Negeri atau ahli Parlimen, apatah lagi untuk menjadi Menteri, Timbalan Perdana Menteri atau Perdana Menteri.”
Kata Kit Siang, “kami terlibat dalam politik bukan kerana apa yang kita boleh dapat dari penglibatan dalam politik, tetapi apa yang boleh kami berikan kepada negara untuk menjadikan negara kita ini adil, progresif dan makmur yang bersatu padu, demokratik.”
Beliau juga berkata, pemimpin-pemimpin Umno dan propaganda parti itu mendakwa beliau telah mengadakan perbincangan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, Pengerusi PPBM pada 3 Disember lalu untuk memeterai perjanjian yang Datuk Seri Mukhriz Mahathir akan menjadi perdana menteri manakala beliau sebagai timbalan perdana menteri jika menang PRU14.
“Ini adalah 1 pembohongan. Saya tidak pernah bertemu (Dr) Mahathir untuk mesyuarat rahsia pada 3 Disember lepas, dan dalam pelbagai mesyuarat saya dengan beliau, kami tidak pernah membincangkan subjek perdana menteri atau timbalan perdana menteri.”
Kit Siang, yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, beliau hairan apabila perdana menteri dan menteri-menterinya mengutuk secara terbuka berita palsu dan maklumat palsu itu sedangkan mereka sendiri adalah pencipta berita palsu yang paling tidak masuk akal terhadap pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan.
link:
Shahrizat dakwa Kit Siang calon PM jika DAP kekal dominan
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram