
Justeru, beliau menggesa orang ramai tidak termakan kata-kata pembangkang yang mendakwa pelantikan tersebut menggambarkan wujud pergeseran antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Naib Presiden Umno ini mengulas pengumuman mengejut oleh Najib hari ini berhubung pelantikan itu, pada masa sama kekal sebagai Menteri Pertahanan.
“Jangan ada pihak cuba melaga-lagakan kita. Kita teruskan (tugas) berbanding melayan pihak yang tidak pernah setuju dengan kita.
“Datuk Seri Zahid sudah berkata beliau menerima perkara ini. Pelantikan ini memberi peluang untuk saya bersama-sama Zahid mengagihkan tugas dan memberikan sokongan penuh kepada kepimpinan Perdana Menteri,” kata beliau pada sidang media di Kementerian Pertahanan, hari ini.
Hishammuddin berkata beliau akan berbincang sendiri dengan Najib berhubung tugas barunya itu.
Jawatan itu pernah diwujudkan pada era 1960-an dan awal 1970-an. Ia hanya pernah dikembalikan sekali sahaja iaitu pada Jun 1998 – beberapa bulan sebelum Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dan dipegang Tun Daim Zainuddin.
Beberapa jam selepas pengumuman Najib, pelantikan itu sudah dipersoalkan dan kebanyakannya menumpukan kepada dakwaan pergeseran antara Najib dan Zahid.
Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub mendakwa pelantikan itu sebagai penghinaan kepada Zahid manakala Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli pula berkata ia bukan perkara yang baik bagi “cita-cita politik” Zahid.
Hishammuddin berkata, beliau sudah menjangkakan respons pembangkang seumpama itu kerana ia “memang kerja mereka”.
“Apa yang berlaku pada hari ini tiada kena-mengena dengan ketika itu (pelantikan Daim).
“Kenapa kita perlu susah sangat dengan apa yang dia (Rafizi) kata. Bukan dia yang lantik saya. Rafizi ini ketua kipas dan melaga-lagakan dan saya ingin ingatkan dia usaha itu tidak akan berjaya,” katanya.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram