
Watson tiba di perkarangan Balai Polis Pusat Miri jam 9.20 pagi ditemani isterinya, Felliza Michael Samdon serta lebih 20 orang yang mewakili 10 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terus memasuki balai untuk membuat laporan polis pada 9.58 pagi.
Sejurus selesai membuat laporan polis, Watson, 41, yang kini menjadi jurulatih sukan sepenuh masa, berkata laporan polis dibuat untuk membolehkan siasatan dijalankan ke atas stesen televisyen, penerbit dan pengacara rancangan komedi itu.
“Perkara ini sudah mengaibkan saya dan keluarga saya, tindakan tegas perlu diambil, saya mahu polis siasat motif sebenar mereka bertindak demikian,” katanya.
Beliau berkata, walaupun permohonan maaf sudah dibuat secara terbuka, namun laporan polis tidak akan ditarik balik memandangkan kesalahan dilakukan pihak terbabit amat serius dan sukar baginya memaafkan tindakan biadap pengacara berkenaan.
Watson berkata, beliau tetap akan meneruskan tindakan undang-undang dan tidak akan berunding walaupun pihak televisyen swasta berkenaan berhasrat bersemuka dengannya di sini.
Beliau juga menyuarakan hasrat memfailkan saman malu terhadap syarikat televisyen swasta tersebut dan akan mencari peguam yang bersedia membantunya.
Semalam, Watson meluahkan rasa kecewa serta berang selepas menonton rancangan tersebut di sebuah hotel di Sibu jam 11.15 malam Sabtu lepas apabila seorang pengacara lelaki mengejek nama mendiang bapanya yang juga bekas anggota polis dengan bunyi binatang.
Luahan Watson mendapat reaksi serta perkongsian ratusan netizen yang mahu Watson menyaman stesen televisyen berkenaan serta mengutuk tindakan rancangan tersebut yang menghina bapanya.
Watson yang memegang rekod kebangsaan 100m, iaitu 10.30 saat selama 18 tahun sebelum dipecahkan Khairul Hafiz Jantan yang melakukan 10.18s pada Sukma Sarawak tahun lepas, diisytiharkan muflis selepas gagal membayar balik pinjaman bank yang digunakan untuk menanggung kos perubatan bapanya yang menderita barah telinga.
Bagaimanapun, beliau dibebaskan daripada status muflis selepas kerajaan Sarawak membayar balik tunggakan pinjaman sebanyak RM80,000 itu.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram