
Itu pengakuan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz ketika menghadiri sebuah dialog dengan Alumni Kelab Umno Luar Negara di Pusat Pelancongan Malaysia, Jalan Ampang, semalam.
“Kosnya akira-kira RM600 juta daripada penganjuran aktiviti pra pilihan raya untuk rakyat sehingga hari mengundi.
“Dan wang itu datang daripada pengerusi Barisan Nasional sendiri,” katanya ketika ditanya mengenai RM2.6 bilion yang dikatakan daripada Arab atau dimasukkan ke akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Mac 2013 dan sebahagian dana itu digunakan untuk PRU13.
“Saya ialah menteri undang-undang selama 9 tahun di Malaysia. Ia tidak salah untuk meminta dana dari luar bagi menyokong menjalankan kempen pilihan raya dan ia juga tidak salah meletakkan wang itu ke dalam akaun seseorang.”
Katanya, apa yang boleh dianggap salah ialah sumber dana itu.
“Jika ia datang daripada aktiviti pengubahan wang haram dan rasuah, maka ia adalah salah. Tetapi, wang itu bukan datang daripada aktiviti haram,” kata ahli Parlimen Padang Rengas itu.
Nazri mengakui beliau turut menerima wang daripada Najib bagi tujuan membantu beliau memenangi kerusi Parlimen Padang Rengas di Perak, pada PRU13.
“Saya terima RM10,000 untuk membayar deposit calon kepada Suruhanjaya Piliha Raya apabila saya dicalonkan untuk bertanding di Padang Rengas bersama RM200,000 untuk belanja berkempen kerana undang-undang pilihan raya membenarkan calon membelanjakan sehingga RM200,000 untuk tujuan berkempen.
“Kemudian, RM300,000 lagi diberikan kepada 60 cawangan Umno di kawasan saya untuk menjalankan aktiviti kemasyarakatan,” katanya.
Ahli Majlis Tertinggi Umno itu turut membidas bekas rakan Kabinetnya, Tan Sri Muhyiddin Yassin (bekas timbalan perdana menteri) dan Datuk Seri Shafie Apdal (bekas menteri kemajuan luar bandar dan wilayah) kerana berpaling tadah terhadap perdana menteri selepas mengambil dana daripada sumber sama untuk kempen dan aktiviti pilihan raya pada PRU13.
“Shafie mempunyai lebih 400 cawangan dan Muhyiddin mempunyai lebih 100 cawangan (di kawasan pilihan raya mereka). Mereka dapat lebih banyak daripada saya.
“Mengapa mereka tidak mempersoalkan sumber dana itu sebelum ini,” katanya.
Muhyiddin dan Shafie dipecat daripada Kabinet pada Julai 2015. Mereka berdua meninggalkan Umno dan menubuhkan 2 parti pembangkang baharu secara berasingan, iaitu PPBM dan Parti Warisan Sabah.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram