
Menurut saman Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ), semua hartanah itu terletak di daerah Mayfair di London dan dibeli dengan nilai £77 juta (RM418 juta) oleh ahli perniagaan Malaysia, Low Taek Jho atau Jho Low.
Menurut dokumen difailkan di sebuah mahkamah di California pada 7 Jun, Jho Low, yang namanya disebut dalam kertas siasatan DoJ tahun lalu mengenai kecurian dana 1MDB, membeli hartanah itu menggunakan wang dilesapkan daripada syarikat milik kerajaan Malaysia itu.
Hartanah di London itu merupakan antara beberapa aset yang menjadi sasaran pihak berkuasa AS, di samping beberapa bangunan di New York dan Los Angeles, yang menurut DoJ dibeli menggunakan wang 1MDB.
Menurut dokumen mahkamah yang dipetik WSJ, unit pejabat London itu menempatkan ibu pejabat Myla, sebuah syarikat pengeluar pakaian dalam wanita di United Kingdom, dan dibeli pada harga £42 juta (RM228 juta) pada 2014.
Dokumen mahkamah juga menyebut Jho Low membuat pemindahan wang £35 juta kepada sebuah akaun Royal Bank of Scotland Group di bawah nama “Macfarlanes LLP Client Account Number 1”, yang merupakan sebuah firma guaman di UK.
Dalam laporan siasatannya tahun lalu, DoJ berkata Jho Low berpakat memindahkan wang sebanyak AS$3.5 bilion (RM15 bilion) daripada 1MDB bagi membeli Park Lane, sebuah hotel di Beverly Hills, kondominium di New York, lukisan mahal di samping untuk membiayai penerbitan filem “The Wolf of Wall Street” yang diterbitkan sebuah syarikat diketuai anak tiri Datuk Seri Najib Razak, Riza Aziz.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram