
Adun Mengkibol Tan Hong Pin berkata pengkalan tentera di Segamat itu dijadualkan siap pada April 2018 tetapi seramai 1,051 pengundi tentera sudah didaftarkan di kawasan itu.
Beliau menyeru Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Hussein menjelaskan mengapa kakitangan ini didaftarkan di sana walaupun pangkalan belum siap.
“Pihak DAP mahu gesa rakyat di Segamat untuk membantu bantah pendaftaran undi kakitangan tentera ini.
“Kami mempunyai masa sehingga 6 November untuk hantar bantahan kepada SPR,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat DAP di sini.
DAP juga menyeru orang awam menderma untuk membantu membiayai bantahan itu yang bernilai RM10 setiap satu.
Jika bantahan tidak diterima SPR, jumlah maksimum sebanyak RM200 perlu dibayar setiap orang.
Pengerusi DAP Johor Liew Ching Tong berkata isu itu memberi kesan kepada negara dan mendakwa kem tentera itu dibina untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN).
Katanya, terdapat kem lain sedang dibina di Johor untuk tujuan pilihan raya dan ini terbukti dalam kes di Segamat ini.
“Pengundi telah beralih ke kawasan Segamat. Sebelum pembinaan kem siap, mereka dipindahkan ke kawasan Presiden MIC Datuk Seri S Subramaniam.
“Saya mahu Subramaniam, menteri kesihatan itu, untuk jelaskan perkara ini. Adalah presiden MIC terlalu lemah sehinggakan perlu bergantung pada pengundi hantu untuk memenangi kerusi?
“Ini jelas menunjukkan tindakan perlu diambil. BN bersiap untuk main kotor”
Dalam isu lain, Tan mendapati 218 kakitangan tentera dari pangkalan di Majidee didaftarkan di sana walaupun kem itu ditutup 3 tahun lalu dan dijual kepada syarikat swasta.
“Kem sudah berpindah ke Batu Pahat tetapi separuh daripada batalion masih mengundi Majidee.
“Jika kem itu sudah tiada, di mana patut SPR membuka pusat untuk kakitangan tentera mengundi?” soalnya.
Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng berkata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low patut menyiasat isu yang berlaku di Segamat dan Majidee ini.
Tambah beliau, sudah tiba masa untuk Low, yang membentuk Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara, untuk mengambil langkah membuktikan diri dengan menguruskan hal ini.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram