
Dr Wan Azizah (PKR-Permatang Pauh) berkata semakan terhadap senarai perjawatan 2018 mendapati gaji maksimum seorang ketua pengarah (Jasa), berdasarkan kod gaji VU7, boleh mencecah RM20,592 sebulan berbanding RM14,907.20 sebulan yang diterima seorang menteri komunikasi dan multimedia.
“Apakah tugas-tugas yang sungguh teristimewa ini mendapat bayaran lebih daripada gaji menteri?” soal Wan Azizah ketika membahaskan belanjawan untuk KMM di Dewan Rakyat.
Wan Azizah turut mempertikaikan keperluan gaji seorang ketua pengarah Jasa melebihi gaji kakitangan awam yang berkhidmat berpuluh tahun.
Antara fungsi Jasa adalah mengatur rancangan dan melaksanakan strategi, program dan aktiviti untuk “mendidik serta menyakinkan” rakyat kepada pemimpin negara.
Ditubuhkan sejak 1960, Jasa juga ditugaskan mengenalpasti dan memantau isu yang boleh menggugat kepercayaan rakyat terhadap kerajaan, di samping membuat analisis pola dan sikap rakyat terhadap dasar kerajaan.
Dalam pada itu, Wan Azizah turut mempersoalkan rasional membayar emolumen RM12.8 juta kepada 272 kakitangan Jasa yang berperanan semata-mata sebagai “jurukempen” Umno dan Barisan Nasional (BN).
“Bukankah lebih wajar emolumen gaji kakitangan Jasa itu dibayar langsung oleh ibu pejabat Umno dan BN
“Sepatutnya tidak dibayar dengan menggunakan dana awam yang menjadi hasil cukai keringat rakyat jelata termasuk kami dari pihak pembangkang,” katanya.
Ketua Pengarah Jasa sekarang adalah Datuk Mohd Puad Zarkashi, manakala Menteri Komunikasi dan Multimedia adalah Datuk Seri Salleh Said Keruak.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram