
Bercakap pada Forum Global mengenai Pemulihan Aset anjuran AS dan United Kingdom di Washington, Sessions menyifatkan isu 1MDB ialah “kleptokrasi paling teruk”.
“1MDB diwujudkan kerajaan Malaysia untuk mempromosikan pembangunan ekonomi jangka panjang untuk manfaat rakyat Malaysia.
“Tetapi, pegawai dan sekutu mereka yang didakwa korup dilapor menggunakan dana itu untuk perbelanjaan mewah: AS$200 juta (RM810.5 juta) untuk hartanah di selatan California dan New York.
“AS$130 juta untuk karya seni. AS$100 juta (RM402.5 juta) dalam label muzik Amerika. Tidak ketinggalan kapal layar bernilai AS$265 juta (RM1.07 bilion),” katanya dalam kenyataan dimuat naik ke laman web Jabatan Kehakiman AS (DoJ).
Sessions berkata, pegawai 1MDB didakwa menyeleweng dana lebih AS$4.5 bilion (RM18.24 bilion) “menerusi transaksi rahsia dalam rangkaian rumit dan syarikat kosong dengan akaun bank di negara seperti Switzerland, Singapura, Luxembourg dan AS.
“Hari ini, DoJ berusaha menegakkan keadilan untuk mangsa skim disyaki ini.”
Dalam pemfailan mahkamah di California pada 5 Jun lalu, DoJ mahu menyita aset berjumlah AS$540 juta (RM2.3 bilion) termasuk karya seni, barang kemas, kapal layar mewah dan hak cipta filem dengan dana yang didakwa diseleweng daripada 1MDB.
Antara aset itu termasuk hak cipta 2 filem komedi “Dumb and Dumber To” yang dibintangi Jim Carrey dan “Daddy’s Home” lakonan Will Ferrell.
Tindakan itu susulan saman sivil DoJ pada Jun 2016 yang mahu mendapatkan kembali semua aset yang tidak terhad kepada Hotel Park Lane di New York, sebuah hotel mewah di Beverly Hills, kondominium di New York, jet persendirian dan karya seni mahal serta pembiayaan dikaitkan dengan filem arahan Martin Scorsese “The Wolf of Wall Street” lakonan Leonardo DiCaprio.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang merupakan pengerusi lembaga penasihat 1MDB sehingga tahun lepas, menafikan sebarang salah laku dan namanya dibersihkan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.
Najib dan Apandi mengecam tindakan rampasan AS dan mendakwa ia bermotif politik.
Dalam ucapannya, Sessions berkata, semua orang tidak kira pendakwa raya, hakim atau penggubal undang-undang bertanggungjawab memperjuangkan kebaikan bersama rakyat.
“Walaupun kita semua mempunyai bidang kuasa terhad, kita harus mengakui kesan daripada tindakan kita boleh dirasai di seluruh dunia.
“Kami memberi jaminan AS akan berusaha. Dan kami gesa setiap kerajaan memainkan peranan mereka juga.”
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram