
Beliau berkata jumlah pampasan kepada Projek Lebuhraya Utara-Selatan Berhad untuk tol Batu Tiga (Shah Alam, Selangor) Sungai Rasau (Klang, Selangor) dan Bukit Kayu Hitam (Kubang Pasu, Kedah), dan MRCB Lingkaran Selatan Sdn Bhd untuk tol Lebuhraya Penyebaran Timur Johor Bahru (EDL) akan diumumkan Kementerian Kewangan kelak.
“Jumlah pampasan adalah soal dasar yang akan dibincangkan. Ini adalah perkara yang masih dalam proses perincian,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Teo Nie Ching (DAP-Kulai) meminta kementerian memberitahu Dewan Rakyat berapa jumlah pampasan yang akan dibayar kepada konsesi tol terlibat.
“Mansuhkan tol bukan sesuatu yang mustahil kerana (Ahli Parlimen) Pekan (Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak) sendiri umumkan tahun ini 4 tol akan dimansuhkan dan sudah dimansuhkan. Tetapi sampai hari ini masih tidak tahu berapakah jumlah pampasan yang dibayar,” kata Teo.
Rosnah meminta Teo dan wakil rakyat lain bersabar dan tidak memanipulasikan kenyataan kerajaan berhubung perkara ini.
“Diharapkan yang berhormat sabar menanti, rakan-rakan tidak ambil pendekatan memanipulasikan apa-apa sahaja kenyataan dikeluarkan kerajaan. Saya mohon sebagai rakan ahli yang berhormat,” katanya.
Rosnah turut menjelaskan kerajaan Persekutuan mampu membina lebuh raya tanpa tol seperti Lebuhraya Pan Borneo, yang menghubungkan Sematan di Sarawak dan Serudong di Sabah, dan Projek Central Spine Road (CSR) yang menghubungkan Kuala Krai di Kelantan dan Kuala Pilah di Negeri Sembilan.
“Kerajaan kita mampu bina lebuh raya tanpa tol tapi dilaksanakan secara berperingkat dan sudah tentu mengabil masa mengikut kemampuan kewangan kerajaan.
“Bagi 6 lebuh raya yang sedang dibina, kebanyakannya dibina di kawasan bandar dan pembinaannya merupakan keperluan mendesak dan melibatkan aliran trafik tinggi.
“Namun, tidak adil jika kerajaan memperuntukkan sumber peruntukan terlalu tinggi kepada lebuh raya, yang mana ia hanya beri manfaat kepada segelintir penduduk,” katanya.