
Najib yang tiba pada 9.42 pagi diiringi peguam belanya Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden masih belum keluar dari bangunan tersebut setakat 11.40 pagi ini.
Seorang pegawai SPRM mengesahkan ahli Parlimen Pekan itu masih berada dalam bangunan berkenaan dan belum selesai memberi keterangan berhubung kes tersebut.
Pagi tadi, Najib yang tiba di perkarangan bangunan SPRM diserbu media tempatan dan antarabangsa yang menunggu seawal 8.00 pagi tadi bagi membuat liputan kes yang melibatkan bekas perdana menteri itu.
Pada Jumaat lepas, SPRM menyerahkan notis meminta Najib hadir memberi keterangan selepas suruhanjaya berkenaan membuka semula siasatan kes aliran wang dari SRC International iaitu anak syarikat 1MDB, sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.
Pada 26 Jan 2016, media melaporkan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengesahkan tiada sebarang kesalahan jenayah dilakukan Najib berkaitan kes melibatkan dana RM2.6 bilion dan SRC International.