Laporan: Keluarga berpengaruh didakwa cuba tekan PM, SPRM dengan bantuan firma UK

Laporan: Keluarga berpengaruh didakwa cuba tekan PM, SPRM dengan bantuan firma UK

Dakwaan itu terkandung dalam satu laporan polis yang kini tular di media sosial.

Terdahulu, Bukit Aman memaklumkan sedang menyiasat dakwaan cubaan oleh individu tidak dinamakan untuk menggulingkan kerajaan serta mengancam kestabilan negara.
PETALING JAYA:
Ahli kepada keluarga berpengaruh didakwa telah melantik sebuah firma komunikasi strategik berpangkalan di United Kingdom bagi memberi tekanan terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, dengan bantuan media antarabangsa.

Dakwaan itu terkandung dalam laporan polis di Balai Polis Brickfields, semalam dan salinan laporan itu kini tersebar luas di media sosial.

Menurut laporan polis berkenaan, beberapa ahli keluarga terbabit didakwa mengadakan pertemuan dengan wakil firma komunikasi strategik itu melalui aplikasi Zoom pada Julai tahun lalu.

Laporan itu turut mendakwa firma UK berkenaan mempunyai keupayaan mempengaruhi dasar negara serta hala tuju isu-isu tertentu melalui rangkaian pelobi.

Terdahulu, Bukit Aman mengumumkan sedang menyiasat dakwaan cubaan oleh individu yang tidak dinamakan untuk menggulingkan kerajaan dan menggugat kestabilan negara.

Ketua Polis Negara Khalid Ismail berkata siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terperingkat (D5) Bukit Aman mengikut Seksyen 124B Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan kesalahan berkaitan perbuatan memudaratkan demokrasi berparlimen.

Bagaimanapun, beliau tidak menamakan individu berpengaruh dan agensi media antarabangsa terbabit.

“Siasatan masih diteruskan dan masyarakt dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes sementara polis melengkapkan siasatan demi menghormati prinsip keadilan jenayah negara ini,” katanya dalam kenyataan.

Dakwaan itu timbul susulan laporan berita Bloomberg yang mendakwa Ketua Peuruhjaya SPRM, Azam Baki, memiliki 17.7 juta saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan dan tidak mendedahkan asetnya secara terbuka.

Azam menafikan dakwaan itu dan telah menyaman Bloomberg bagi ganti rugi berjumlah RM100 juta.

Dalam artikel berasingan, Bloomberg mendakwa satu rangkaian ahli perniagaan dan pegawai SPRM menggunakan serbuan serta siasatan bagi memberi tekanan kepada pengurusan syarikat supaya menjual saham dalam syarikat sasaran.

SPRM menafikan dakwaan itu.

FMT telah menghubungi IPD Brickfields untuk maklum balas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.