
Bendahari Umno Sabah Salleh Said Keruak berkata ramai rakyat Melayu biasa lebih risau tentang isu seperti kos sara hidup meningkat, keselamatan pekerjaan, pendidikan anak-anak dan peluang ekonomi berbanding naratif politik semata-mata.
Bagi generasi muda Melayu pula, Salleh berkata kelompok itu mungkin berpendangan kesatuan politik sebagai relevan tetapi tetap ingin melihat perubahan nyata dalam kehidupan harian mereka.
Menurutnya, kumpulan profesional Melayu mungkin berpandangan kesatuan Melayu tidak seharusnya hanya digerakkan parti atau pemimpin politik tetapi lebih mengutamaka manfaat sebenar kepada masyarakat.

“Bagi ramai rakyat Sabah, fokus mungkin berbeza. Isu seperti hak negeri, pembangunan, peluang dan pelaksanaan MA63 (Perjanjian Malaysia 1963) biasanya lebih menjadi tumpuan pemikiran politik mereka.
“Ini membawa persoalan lebih besar: apakah cabaran sebenar dihadapi komuniti Melayu hari ini — ancaman politik, atau perubahan ekonomi dan sosial?,” katanya di Facebook.
Khamis lalu, satu pertemuan di membabitkan lapan parti politik bagi mencari titik persamaan dalam isu berkait Islam, Melayu dan Bumiputera telah berlangsung di Ibu Pejabat Umno, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.
Ia disertai Umno, PAS, PKR, Amanah, Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Berjasa, Kimma dan Parti Ikatan Bangsa (Ikatan).
Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata musyawarah kali pertama itu yang dicetuskan Presiden Zahid Hamidi untuk menghimpunkan pelbagai parti, tidak kira dari blok kerajaan mahupun pembangkang demi maslahah ummah dan Islam.
Januari lalu, Zahid ketika menggulung ucapan dasar presiden sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025 menyatakan hasrat untuk membentuk kolaborasi agung dan ‘Rumah Bangsa’ bagi menyatukan parti politik Melayu dan Islam.