Siasatan SPRM hanya libat individu, bukan syarikat, kata IJM

Siasatan SPRM hanya libat individu, bukan syarikat, kata IJM

Menurut IJM, pihaknya terima surat daripada SPRM jelas skop siasatan.

WISMA IJM BUILDING
IJM sebelum ini nafi dakwaan pengubahan wang haram babit 2 individu yang dikaitkan dengannya, serta tidak tahu-menahu tentang siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa UK.
PETALING JAYA:
IJM Corporation Bhd menjelaskan bahawa siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sedang berjalan melibatkan individu-individu yang dikaitkan dengan syarikat itu, bukannya IJM sebagai sebuah entiti korporat.

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, IJM berkata, pihaknya telah menerima sepucuk surat daripada SPRM yang menjelaskan bahawa siasatan itu ‘terhad kepada beberapa individu yang dikaitkan dengan IJM, dan bukan syarikat itu sendiri’.

Penjelasan itu dibuat selepas beberapa bulan syarikat itu menjadi tumpuan susulan serbuan pada Januari ke atas pejabat IJM, serta pembekuan beberapa akaun bank peribadi dan syarikat.

Agensi antirasuah telah membuka tiga kertas siasatan yang memberi tumpuan kepada tadbir urus korporat, proses perolehan, transaksi kewangan dan pemilikan aset di luar negara yang dianggarkan bernilai RM2.5 bilion.

IJM telah menafikan dakwaan pengubahan wang haram membabitkan dua individu yang dikaitkan dengannya, termasuk pengerusinya. Syarikat itu juga menyatakan, pihaknya tidak tahu-menahu tentang sebarang siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa United Kingdom.

Kes ini dikatakan boleh menjejaskan cadangan pengambilalihan IJM oleh Sunway Bhd, namun syarikat itu kemudiannya mengesahkan bahawa mereka akan meneruskan tawaran tersebut.

Awal bulan ini, Permodalan Nasional Bhd (PNB), pemegang saham kedua terbesar IJM, memutuskan untuk tidak menerima tawaran pengambilalihan sukarela Sunway bagi 13.5% kepentingannya dalam syarikat itu.

Sunway perlu memperoleh 50% tambahan satu saham kepentingan ekuiti dalam IJM untuk membolehkan tawaran pengambilalihannya berkuat kuasa.

Bagaimanapun, Sunway memerlukan kelulusan 90% pemegang saham untuk menyahsenaraikan IJM secara wajib dan menjadikannya syarikat persendirian, satu tahap yang mustahil dicapai berikutan penolakan PNB terhadap tawaran tersebut.

IJM pada asasnya dimiliki oleh pelbagai dana institusi, dengan pemegang saham terbesarnya ialah KWSP dengan 16.8% kepentingan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.