
Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata kapasiti pengeluaran itu mencukupi untuk menampung keperluan tempatan dalam keadaan harga bahan api yang berdepan tekanan kenaikan di pasaran.
“Kini terdapat 19 loji pengeluaran biofuel daripada B15 hingga B50 dan kita akan gunakan ‘sludge’ daripada minyak sawit mentah, di mana kira-kira 35% daripadanya dimanfaatkan untuk menghasilkan biodiesel dan Jet A1,” katanya pada sidang media selepas merasmikan RisSMart Grocer.
Turut hadir Menteri Perladangan dan Komoditi, Noraini Ahmad, serta Pengerusi Risda, Manzri Nasib.
Zahid yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah berkata inisiatif itu telah dimulakan dan pada dasarnya mendapat persetujuan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), dengan penyelarasan lanjut akan dilakukan bersama agensi serta syarikat berkaitan.
Menurutnya, sinergi antara semua loji terlibat penting bagi memastikan kos pengeluaran dapat dikurangkan, sekali gus memberi kesan kepada harga bahan api di pasaran.
“Setakat ini pengeluaran sekitar 1.5 juta liter sebulan dapat dicapai dan kita harap ia akan membantu mengurangkan kos serta menurunkan harga keseluruhan,” katanya.
Zahid berkata ujian terhadap biodiesel yang dihasilkan juga menunjukkan keputusan positif tanpa sebarang isu dari segi penggunaan dalam kenderaan.
“Kita sudah melakukan ujian, termasuk oleh Petronas, selain kerjasama dengan beberapa pengeluar kenderaan untuk memastikan kesesuaian biodiesel ini dengan enjin diesel sedia ada,” katanya.
Beliau berkata hasil ujian itu menunjukkan biodiesel berkenaan selamat digunakan dan berpotensi menjadi alternatif kepada diesel konvensional.
“Dalam jangka panjang, ia mampu membantu menstabilkan dan menurunkan harga diesel di negara ini,” katanya.