Ceramah perdana PH di Paroi Rabu depan di tengah kemelut politik N Sembilan

Ceramah perdana PH di Paroi Rabu depan di tengah kemelut politik N Sembilan

Berdarkan poster dikongsi di Facebook Mohamad Sabtu, ceramah itu akan diadakan di tempat letak kereta Stadium Tuanku Abdul Rahman.

Poster ceramah pimpinan utama Pakatan Harapan yang dikongsi pentadbir Facebook Mohamad Sabu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Satu ceramah perdana bersama pimpinan Pakatan Harapan akan diadakan di tempat letak kereta Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan, Rabu depan.

Penganjurannya dibuat ketika Negeri Sembilan dilanda krisis kepimpinan susulan tindakan 14 Adun Barisan Nasional (BN) menarik sokongan terhadap Menteri Besar Aminuddin Harun daripada PH.

Poster dikongsi pentadbir Facebook Presiden Amanah Mohamad Sabu itu memaparkan gambar Pengerusi PH Anwar Ibrahim yang juga perdana menteri, serta Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook.

Turut dipaparkan gambar Mohamad; Ketua Setiausaha PH Saifuddin Nasution Ismail; Aminuddin yang juga Adun Sikamat; Pengerusi DAP Gobind Singh Deo dan Speaker DUN Negeri Sembilan MK Ibrahim Abd Rahman.

Bagaimanapun, setakat ini belum dapat dipastikan sama ada paparan gambar pemimpin utama PH pada poster itu bermaksud mereka akan hadir pada ceramah bermula 8 malam berkenaan.

Isnin lalu, semua 14 Adun Umno-BN Negeri Sembilan mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Aminuddin dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinannya.

Ketua Umno Negeri Sembilan Jalaluddin Alias berkata keputusan itu dibuat susulan krisis didakwa membabitkan institusi adat dan perlembagaan negeri yang kini menjadi perhatian umum.

BN kemudian mendakwa mempunyai majoriti mudah dalam DUN 36 kerusi untuk membentuk kerajaan negeri, dengan sokongan lima Adun Perikatan Nasional (PN) yang menyatakan kesediaan bekerjasama.

Gabungan BN-PN menyaksikan blok itu memiliki 19 kerusi, mengatasi 17 kerusi PH di DUN Negeri Sembilan. Komposisi DUN selepas PRN 2023 ialah PH 17 kerusi, BN 14 dan PN lima.

Bagaimanapun, Biro Politik Umno pada Khamis memutuskan parti itu kekal menyokong kerajaan perpaduan Negeri Sembilan, walaupun menghormati pendirian Adun BN yang hilang kepercayaan terhadap Aminuddin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.